PUTRAJAYA: Orang ramai termasuk pemain industri babi tempatan diberi peringatan agar segera melaporkan mana-mana isu kematian babi diternak secara komersial selain babi liar.
Amaran tersebut dikeluarkan susulan penemuan kes terbaharu penyakit demam babi Afrika (ASF) yang pertama didapati daripada bangkai seekor babi hutan di Perak baru-baru ini.
Menurut hantaran berbentuk infografik disiarkan menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), ekoran itu bilik gerakan penyakit telah pun diaktifkan balik.
“Sebarang kematian babi komersial atau babi hutan wajib dilaporkan kepada JPV negeri atau talian khas Bilik Pengurusan Krisis Penyakit Haiwan, Ibu Pejabat di Putrajaya,” katanya.
Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu menegaskan bahawa mereka yang gagal berbuat demikian boleh dihukum mengikut Akta Binatang (Pindaan 2013) merangkumi penternak, pengimport dan peniaga sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000.
Meskipun virus ASF tidak berbahaya kepada manusia, penyakit ini amat senang berjangkit dan berupaya menyebabkan kematian dalam angka besar sehingga mengakibatkan kerugian.
“Bahkan sekatan perdagangan terhadap negara secara menyeluruh boleh dilaksanakan bagi mengekang penularan penyakit berkenaan daripada terus merebak,” kata agensi tersebut.
Penternak yang jenis berskala kecil atau penternak babi kampung ujar JPV, adalah antara kumpulan sangat berisiko tinggi jika berdepan dengan pendedahan wabak virus berkenaan.
Justeru tambahnya, langkah biosekuriti baik yang diamalkan secara konsisten dalam bidang penternakan babi kecil-kecilan dan ladang mampu menyelamatkan jutaan ternakan tersebut.
Penyakit ASF ialah demam berdarah akut disebabkan serangan virus dari famili Asfar viridae dan boleh menyebabkan kematian 100 peratus dalam tempoh hanya dua sehingga 10 hari.
Akhir Oktober lalu, kerajaan Sabah mengisytiharkan 22 daerah di negeri tersebut sebagai zon wabak setelah kes pertama mula dikesan pada 23 Februari lepas di Pitas, Bahagian Kudat, kemudian didapati berkembang pesat ke jirannya apabila kerajaan Sarawak pada 30 Ogos lalu mengisytiharkan tiga bahagian di negeri berkenaan sebagai kawasan kawalan kes ASF.
Pihak penternak juga diarahkan untuk tidak lagi memberi sisa makanan dapur kepada babi yang dipelihara namun jika tiada pilihan, ia perlu dimasak lebih 30 minit untuk membunuh virus.
Perangkaan terkini JPV untuk sepanjang tahun ini merekodkan angggaran 1,857,838 ekor babi berjaya diternak di seluruh negara dengan Perak yang paling banyak iaitu 566,906 ekor. -UTUSAN ONLINE










