KUCHING: Budaya politik wang didakwa masih diamalkan di Sarawak khususnya di sini ketika ada parti politik lain sedang berusaha mengamalkan persaingan secara sihat untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa dari DAP, Michael Kong Feng Nian berkata, beliau berjumpa dengan seorang pengusaha ketika bersarapan pagi semalam dan memberitahu, terdapat parti politik mengelilingi kawasan berkenaan dengan mengumpulkan nama, nombor kad pengenalan dan menghulurkan wang RM50 sebagai pulangan.
“Politik wang adalah amalan lama sejak zaman Barisan Nasional (BN). Apabila mereka menawarkan wang untuk undi anda, mereka menganggap negeri dan pilihan raya ini sebagai pelaburan.
“Amalan ini bukan sahaja menunjukkan betapa ketinggalan zaman parti-parti politik ini malah menunjukkan mereka serupa dengan gabungan BN yang korup.
“Amalan rasuah dan tidak beretika ini mesti dihentikan. Kami mahu membawa Sarawak ke tahap yang lebih tinggi. Sila mengundi dengan hati dan nurani, jangan terpengaruh dengan politik wang,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Feng Nian akan berdepan saingan secara lima penjuru dengan calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS-SUPP), Wilfred Yap Yau Sin; Parti Sarawak Bersatu (PSB), John Lau Pang Heng; Parti Bumi Kenyalang (PBK), Lue Cheng Hing dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Tan Kok Chiang.