CPTPP: Kenyataan Azmin mengelirukan, MITI perlu jawab secara adil - Utusan Malaysia

CPTPP: Kenyataan Azmin mengelirukan, MITI perlu jawab secara adil

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini dikenali sebagai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mesti menjawab dan bukan hanya menyentuh beberapa klausa tertentu yang seolah-olah memberi manfaat kepada bumiputera atau negara amnya. 

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, jawapan secara adil harus memberi gambaran menyeluruh kos manfaat impak menyeluruh Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada ekonomi dan kedaulatan negara. 

“Kita maklum, satu kajian kos manfaat (CBA) sedang diusahakan. Kita gusar apabila Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah mula mempromosi dan meuar-uarkan yang baik-baik sahaja tentang CPTPP sebelum kajian kos-manfaat disiapkan, seolah-olah tujuan kajian tersebut adalah untuk bersetuju dengan kesimpulan beliau untuk mendesak Malaysia segera meratifikasikan CPTPP. 

“Keseluruhan laporan CBA harus dibentangkan secara telus dan terbuka kepada semua dan dibahas sepenuhnya di Parlimen untuk memastikan bahawa perjanjian ini benar-benar memberi manfaat kepada negara atau pun sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Ini kerana beliau mendakwa, kenyataan Azmin bahawa CPTPP akan memberi kesan positif besar kepada ekonomi bumiputera tidak memberi gambaran sebenar perjanjian perdagangan itu dan mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, ahli Parlimen Gombak itu memetik beberapa pernyataan terpilih dalam perjanjian tersebut yang memberi gambaran kononnya beberapa perkara melindungi, malah memberi keuntungan kepada ekonomi bumiputera.

“Namun  tidak menjelaskan isi kandungan dan implikasi perjanjian perdagangan itu kepada ekonomi bumiputera secara khususnya, mahupun ekonomi negara secara menyeluruh.

Jelas beliau, Perjanjian perdagangan CPTPP itu yang mengandungi 30 bab dan lebih 1,000 peruntukan harus dibaca secara menyeluruh dan bukan diambil satu-satu peruntukannya secara bersendiri. 

Katanya, ini kerana kebanyakan peruntukan dalam bab-bab yang berbeza akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan rakyat dari pelbagai lapisan dan kaum, terutama bumiputera yang lebih terkebelakang dari sudut ekonomi.

“Saya telah menyatakan dalam komen saya sebelum ini mengenai kesan kepada pelbagai sektor dan kumpulan. 

“Ahli-ahli ekonomi Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) telah membuat unjuran akan berlaku kehilangan pekerjaan akibat daripada ratifikasi dan pelaksanaan perjanjian ini. 

“Ia juga akan menyebabkan jumlah import meningkat berbanding eksport yang memberi implikasi kepada imbangan pembayaran dan saingan kepada pengeluar tempatan yang mencabar kelebihan kita dalam ekonomi,” katanya. 

Menurut ahli Parlimen Jerlun itu, 100 peratus tarif import dari negara ahli CPTPP akan dihapus, menyebabkan lebih banyak barangan import murah masuk pasaran negara yang akan mengakibatkan pengurangan jualan barangan keluaran tempatan sekiranya negara meratifikasi CPTPP. 

Katanya, kesan dari peningkatan import berbanding eksport, imbangan dagangan negara akan berkurangan sebanyak USD2.4 billion setahun (RM9.6 billion) dan Malaysia akan kehilangan cukai import bernilai RM6.4 billion.

“Ia juga akan memberi tekanan kepada kebolehupayaan Malaysia untuk menjadi negara pengeluar, sekali gus terus terperangkap menjadi negara pengguna dengan implikasi bersifat jangka panjang kepada ekonomi negara. 

“Ia juga akan memberi implikasi kepada pasaran buruh dan keupayaan industri dan perniagaan yang menghasilkan peluang pekerjaan,” ujarnya. 

Beliau menambah, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga telah menyatakan pendirian tegas untuk Malaysia tidak meratifikasi CPTPP berkenaan. 

Katanya, CPTPP juga akan menyebabkan petani kehilangan hak untuk menyimpan, menukar dan menjual benih mereka seperti dalam peruntukan untuk menyertai UPOV91 dan bakal menyebabkan kos pengeluaran petani meningkat sehingga memberi kesan kepada sara hidup mereka. 

“Kebanyakan petani dan pesawah kecil Malaysia adalah Bumiputera dan peningkatan harga kos input pada hari ini tanpa CPTPP sudah memberi kesan besar kepada sara hidup mereka tetapi masih mampu ditangani oleh Kerajaan.

“Namun di bawah syarat-syarat CPTPP, sambil kos tempatan meningkat, kos import pula mungkin menurun. Ini memberi impak kepada survival petani kita,” katanya. 

Mukhriz berkata, semua implikasi yang disenaraikan itu adalah sangat negatif bagi Malaysia dan kemampuan kita untuk mengurangkan hutang negara. 

Katanya, ratifikasi CPTPP tidak diperlukan di saat Malaysia terkesan teruk akibat dari pandemik Covid-19 yang menjejas pendapatan peniaga, usahawan dan pengeluar di keseluruhan rantaian bekalan, selain kehendak pasaran yang rendah. 

“Malaysia tidak mampu kehilangan lebih banyak pekerjaan, yang mana kesannya bersama kemerosotan pendapatan akibat pandemik sudah terlalu membebankan dan tidak mampu ditangani oleh kerajaan hari ini. 

“Jelas bahawa ratifikasi CPTPP tidak diperlukan terutama dalam usaha pemulihan ekonomi negara pasca pandemik. 

“Semua isu-isu di atas akan memberi kesan lebih besar kepada peniaga, pekerja dan petani Bumiputera yang majoritinya berada dalam kumpulan B50,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan yang memberi impak langsung kepada Bumiputera tidak hanya terhad kepada sebahagian dari bab pelaburan, namun juga bab perolehan kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan. 

“Azmin menyebut seolah-olah Annex II akan membenarkan pengecualian (carve-out) menyeluruh kepada keutamaan dan polisi bumiputera.

“Penjelasan beliau memberi tanggapan seolah-olah polisi bumiputera adalah terlindung di dalam peruntukan CPTPP sepertimana sebelum ini, dengan pengekalan status quo.

Tanggapan ini sangat jauh tersasar dari kebenaran,” katanya. 

Ujar beliau, ini kerana Annex II hanya merujuk kepada sebahagian bab pelaburan dan bab Perolehan Kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan mempunyai bab pengecualian tersendiri. 

Katanya, bab pelaburan sendiri berkonflik dalam hal pengecualian itu di mana pelabur asing perlu dilayan melalui “layanan nasional”. 

“Mereka perlu diberi layanan sama (dari sudut peluang, undang-undang, keutamaan dan sebagainya) seperti pelabur tempatan, kecuali dalam beberapa perkara yang dikecualikan. Pelabur asing ini perlu dilayan tidak kurang dari pelabur tempatan, namun tidak salah untuk mendapat keistimewaan yang lebih baik,” katanya.

Jelas beliau, peruntukan dari bab ini mengawal kerajaan untuk menuntut dari pelaburan asing untuk aktiviti, inisiatif atau sebagainya bagi membantu pertumbuhan negara seperti mana larangan dalam peruntukan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) untuk performanceRequirement. 

“Ia seterusnya menghalang hak kerajaan untuk menuntut penggunaan kandungan tempatan (input tempatan untuk barangan, perkhidmatan dan pekerja) dalam proses, perolehan, pembelian atau keutamaan kepada barangan – produk tempatan, pemberian keutamaan kepada teknologi tempatan, kawalan kerajaan untuk menghadkan import berbanding eksport. 

“CPTPP juga menghalang Malaysia menuntut syarat pemindahan teknologi dari pelabur asing atau meletakkan kadar royalti dibawah kemampuan syarikat tempatan untuk dibayar kepada pelabur asing.

“Apabila Menteri MITI bercakap tentang Annex II, beliau menyentuh soal pengecualian kepada peruntukan di atas, walhal ia tidak mencakupi aspek-aspek penting bagi rakyat.

“Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini, Annex II tidak memberikan pengecualian menyeluruh untuk Hak Bumiputera seperti yang digembar-gemburkan apabila Annex II dibaca bersama dengan semua peruntukan dan bab-bab yang lain sebagai satu dokumen yang mengikat secara perundangan, 

“Contoh telah diberikan dan ini termasuk kenyataan bahawa kecuali dalam beberapa sektor yang dibenarkan, Malaysia tidak boleh menetapkan atau mengawal mana-mana keperluan 30 peratus ekuiti Bumiputera. 

“Begitu juga menetapkan syarat untuk pelabur negara ahli CPTPP melantik pengurusan syarikat mahupun ahli lembaga pengarah syarikat di kalangan bumiputera,” ujarnya. 

Selain itu katanya, segala pengecualian yang terkandung dalam Annex II tidak tertakluk kepada peruntukan Layanan Adil dan Saksama (FET) dan perampasan (expropriation) dalam bab pelaburan CPTPP yang sama. 

“Oleh itu, apa-apa polisi langkah afirmatif (termasuk yang terkait Bumiputera) masih boleh dicabar oleh pelabur asing dari negara ahli CPTPP.

“Kekangan lain terkandung dalam bab-bab perolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan yang juga memberi impak besar kepada ekonomi bumiputera sepertimana

terkandung dalam penjelasan sebelum ini. 

“Beberapa pernyataan dan pengecualian spesifik dalam peruntukan CPTPP tidak memberi satu kekebalan total, seolah-olah hak Bumiputera terpelihara sepenuhnya atau pada keadaan status quo sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya