CUCUTA: Dua pegawai polis maut selepas beberapa bahan letupan meletup di sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa yang terletak di sempadan Colombia dengan Venezuela.
Menurut pihak berkuasa, kejadian itu turut mengorbankan penyerangnya.
Dilaporkan, penyerang itu terbunuh apabila bahan letupan yang dibawanya meletup ketika individu itu cuba melompat ke dalam pagar di kawasan landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cucuta.
Ketua Polis Cucuta, Giovanni Madarriaga berkata, David Reyes, 38, dan Willian Bareno, 42, terbunuh ketika pakar bahan letupan meninjau kawasan itu dan menjumpai beg pakaian yang turut meletup.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Diego Molano menyifatkan insiden itu sama seperti serangan dilakukan oleh kumpulan pemberontak ELN. – AFP










