PETALING JAYA: “Bukan Encik Ahmad (Ahmad Bidin) yang untung dapat pelajar macam kami, kami yang beruntung sebab dapat guru yang berjaya mendidik kami sehingga menjadi orang”.
Demikian antara tulisan salah seorang alumni Kolej Tunku Kurshiah (TKC) mengenai Cikgu Ahmad Bidin, 58, yang diraikan dalam Majlis Seluhur Budi Kasih Abadi sempena persaraannya semalam.
Apa yang menarik, majlis persaraan itu amat menyentuh perasaan pelbagai pihak apabila Cikgu Ahmad diberikan hadiah berupa sebuah Perodua Aruz oleh bekas pelajarnya.
“Sekali lagi, terima kasih, Encik Ahmad. Sampai bila nak habis ucap terima kasih pun tak tahulah. Sebab memang takkan habis kasih kami kepada Encik Ahmad,” tambah alumni TKC berkenaan.
Dalam satu hantaran lain, seorang ibu menulis di Facebook bertanyakan kepada anaknya, apa yang istimewa sangat mengenai Cikgu Ahmad?
Ibu itu kemudiannya menulis jawapan si anak: “Cikgu Ahmad, guru yang mengajar Matematik dan Matematik Tambahan, dia boleh buat orang yang tak suka Matematik Tambahan, menjadi suka dan faham. “Mak tau tak, dia ingat birthday cik (si anak), siap tulis kat blackboard bila kami semua masuk kelas, menunggu kami untuk masuk ke kelas”.
Si ibu seterusnya menulis: “Itulah, kadang-kadang benda kecil kita buat tetapi sangat memberi kesan dalam kehidupan orang lain. Saya tabik hormat cikgu, tahniah dapat hadiah kereta, katanya siap pakej umrah atau haji lagi”.
Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, Ahmad berkata, kebiasaannya, majlis persaraan dianjurkan di sekolah namun bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), majlis yang turut membabitkan penglibatan bekas guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan bekas pelajar, ia diadakan di hotel.
“Sampai ke saat ini, saya masih terfikir sebab utama bekas pelajar terdiri daripada 38 kelompok (batch) pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1980 hingga 2021 memberikan saya hadiah yang bernilai puluhan ribu ringgit ini.
“Tidak terkata saya dibuatnya, namun saya ucapkan terima kasih kerana menghargai usaha saya yang tidak seberapa ini dalam mendidik mereka,” katanya.