KUALA SELANGOR: Seorang wanita cekal menjalani rawatan dialisis setiap hari selepas disahkan sakit buah pinggang kronik tahap akhir sejak dua bulan lalu.
Kini, Norsyafiqah Anis Mohamad Ahpandi, 28, perlu melakukan hemodialisis air itu sebanyak empat kali sehari di rumahnya dan hanya mampu terbaring.
Tambah memilukan, ia menyebabkan anak sulung daripada lima beradik itu hilang mata pencarian kerana tidak lagi mampu bekerja sebagai pengurus runcit sebuah pasar raya di daerah ini.
Norsyafiqah berkata, derita itu bermula sejak pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang pada 23 Januari lalu.
“Saya ketika itu kerap mengalami batuk yang teruk, sesak nafas dan kadangkala muntah.
“Namun, saya menyangka hanya mengalami depresi kerana terlalu sedih dan merindui arwah ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Alam Perdana, Puncak Alam di sini.
Menurutnya, tahap kesihatannya bagaimanapun semakin merosot dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ditemani suaminya, Mohammad Fahmi Hashim, 28, pada 17 Oktober lalu.
“Pada waktu itu, doktor mengesahkan buah pinggang saya gagal berfungsi dan berada pada tahap empat (akhir). Saya kemudian terus dimasukkan ke dalam wad hospital itu dan menjalani pembedahan pada 2 November lalu,” katanya.
Jelas Norsyafiqah, dia yang dibenarkan keluar wad kemudian diminta HKL supaya menjalani dialisis air sehingga ke hari ini.
“Kesemua kos dialisis berjumlah kira-kira RM2,600 sebulan itu kini masih ditanggung majikan suami iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Namun, saya akan pergi ke HKL setiap minggu sekiranya diarah untuk menjalani pemeriksaan susulan,” katanya.
Tambah beliau, dia bersyukur kerana dibantu suaminya yang juga pembantu tadbir dan adik perempuannya, Norsyazlina Anis, 26.
“Biarpun pasrah, saya perlu memikirkan masa depan empat adik termasuk tiga yang menghidap kencing manis kronik. Tanggungjawab membantu mereka sebelum ini saya pikul namun kini semuanya berubah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun CIMB Berhad 7625922881 atas nama Norsyafiqah atau menghubunginya di talian 019-8801715.