Calon muda jadi perhatian - Utusan Malaysia

Calon muda jadi perhatian

SHAHRIL Hamdan Sufian dan Young Syefura Othman yakin dengan semangat anak muda dalam membuat keputusan dalam pilihan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi muda dilihat menunjukkan sikap politik matang dengan memilih pe­mimpin yang mampu untuk menjalankan tugas dan tidak hanya ‘membuta tuli’ bersikap taksub terhadap parti atau pemimpin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian mengenal pasti trend pengundi daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menunjukkan pengundi meletakkan kepercayaan kepada calon muda Barisan Nasional (BN).

“Pengundi muda rata-rata atas pagar tanpa kesetiaan kepada mana-mana parti. Mereka mahu jaminan hidup mereka dan keluarga akan menjadi lebih sejahtera.

“Parti yang mampu meyakinkan mereka mengenai perkara ini dan bukan hanya sentimen atau retorik perjuangan, akan ada peluang mendapat tempat di hati mereka.

“Bagi saya PRN Melaka me­nunjukkan pengundi menerima calon muda. Sebab itu kelima-lima calon Pemuda dan Puteri UMNO menang walaupun di kerusi sengit termasuk satu yang menewaskan bekas Ketua Menteri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shahril Hamdan juga menjelaskan pendiriannya bahawa pemimpin muda itu mesti datang­ dengan kewibawaan dan penjenamaan yang disegani.

“Parti politik mesti menawarkan tawaran yang realistik tetapi tetap radikal dan mendepani masa hadapan yang mencabar dari segi kestabilan politik membawa kepada kemajuan ekonomi rakyat, keadilan sosial serta isu sejagat seperti integriti dan ke­selamatan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke­tari, Young Syefura Othman pula berkata, pengundi muda masih menyumbangkan undi mereka kepada parti yang telah lama memimpin atas faktor kesetiaan kepada parti.

“Satu yang kita kena akui bahawa trend pengundi di Malaysia ialah mereka mengundi parti dan bukan calon. Untuk mengatakan pengundi muda masih mele­takkan kepercayaan kepada pe­mimpin sedia ada, mungkin tidak semuanya begitu.

“Ada yang sudah hilang kepercayaan tetapi tetap mengundi kerana parti. Oleh itu peranan parti di sini untuk kekal relevan ialah dengan memperkenalkan muka-muka baharu agar aspirasi dan manifesto parti dapat dite­ruskan dengan idea yang baharu, segar dan lebih terkini mengikuti peredaran masa dan sesuai de­ngan pengundi muda,” katanya.

Tambah Young Syefura, kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka yang lalu bukanlah atas sebab calon muda tidak mendapat kepercayaan penduduk di Melaka tetapi kerana ramai pe­ngundi tidak balik mengundi.

“Pada pandangan saya, umur calon bukan sebab kekalahan. Kalau kita lihat di DUN Pengkalan Batu, calon PH, Danish Zainuddin hanya kalah tipis sebanyak 131 undi. Ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap calon muda.

“Kekalahan calon muda mungkin kerana ramai pengundi tidak keluar mengundi dan tidak pulang ke Melaka untuk mengundi kerana masih risaukan penularan Covid-19.

“Saya berpendapat jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan undi pos untuk pengundi Melaka yang berada di luar Melaka, keputusan mungkin terjadi sebaliknya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN