PETALING JAYA: Sebanyak RM175 juta diperoleh daripada pendeposit sepanjang kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Oktober lalu.
PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 159 peratus berbanding sasaran awal RM110 juta.
Katanya, kempen berlangsung sepanjang Oktober setiap tahun itu diadakan di peringkat nasional dan negeri secara maya melalui media sosial rasmi PTPTN.
“Pelbagai program diadakan di peringkat nasional dan negeri secara maya melalui media sosial rasmi PTPTN dengan disertai ibu bapa dan kanak-kanak. Ini adalah tahun keempat dan akan diteruskan setiap tahun bagi membuktikan komitmen PTPTN mempromosi serta menghebahkan produk Simpanan SSPN.
“Walaupun 2021 adalah antara tahun yang mencabar dengan suasana ekonomi yang kurang memuaskan dan pelbagai tekanan diterima akibat penularan wabak Covid-19, masyarakat Malaysia masih menitikberatkan budaya menabung,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, PTPTN berkata, kejayaan terimaan deposit Simpan SSPN yang dicatatkan jelas menunjukkan bahawa semakin ramai ibu bapa sedar kepentingan membuat penabungan dan perancangan kewangan bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak. – UTUSAN ONLINE