Bergerak guna papan selaju tak halang aktiviti remaja OKU

Bergerak guna papan selaju tak halang aktiviti remaja OKU

MUHAMMAD Izwan Md. Said  menyertai program santai berkayak OKU Perak 2021 di Tasik Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh, dekat Batu Gajah, Perak, semalam. - FOTO/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Dilahirkan dalam keadaan kedua-dua belah kaki yang kecil sehingga terpaksa menggunakan papan selaju atau skateboard untuk bergerak, bukan halangan buat remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Izwan Md. Said, 17, melakukan aktiviti seperti orang normal lain.

Mengakui tidak pernah berasa kecewa atau malu dengan kekurangan dirinya, Muhammad Izwan yang berasal daripada Kuala Lumpur menerima kekurangan diri dengan reda. 

Menurutnya, kecacatan kedua-dua kaki sejak lahir menyebabkan pergerakannya terhad, namun dia tetap menjalani kehidupan sama seperti insan normal lain. 

Katanya, dia juga tidak pernah rasa tersisih dikelilingi ahli keluarga dan rakan-rakan, malah bersyukur mereka melayannya seperti orang normal.

“Saya seorang yang berdikari dan mengurus diri sendiri ketika di rumah. Di sekolah, kelas saya di tingkat dua dan keadaan itu tidak menyukarkan saya sama sekali. 

“Saya boleh naik tangga dengan menggunakan tangan, manakala beg dan papan selaju pula rakan akan bantu bawakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program santai berkayak OKU Perak 2021 di Tasik Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh, di sini semalam.  

Katanya, dia sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan. 

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia menggunakan papan selaju sejak berusia 10 tahun selepas melihat orang bermain papan selaju yang mencetuskan idea kepadanya dan ibu bapa untuk mencuba menggunakan papan itu. 

“Setakat ini, ini merupakan papan selaju yang kedua dan saya selesa menggunakannya kerana ia memudahkan pengerakan saya,” katanya.

Baginya, tidak sukar untuk mengawal papan berkenaan kerana ia sudah menjadi alat bantuan yang memudahkan pengerakan hariannya. 

“Mudah saja untuk mengerakkannya kerana saya menggunakan tangan, kadang-kadang saya guna kerusi roda juga,” katanya. 

Menurutnya, dia menerima kekurangan itu dengan reda biarpun pernah juga berasa berbeza dengan rakan lain ketika di sekolah rendah. 

Dia yang selalu berfikiran positif dan melakukan aktiviti seperti insan normal mahu menonjolkan keupayaan diri dengan sokongan bapa, Md. Said Ahmad, 73, dan arwah ibunya, Faridah Jantan yang meninggal dunia pada Julai lalu. 

Muhammad Izwan menyertai Santai Kayak bersama OKU di sini bersama rakannya di sini semalam. 

“Ini pengalaman pertama saya berkayak. Saya mahu mencuba serta mencabar keupayaan diri walaupun pada mulanya agak takut tapi selepas itu saya sudah rasa ok dan mahu melakukannya lagi,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat OKU Perak, Muhamad Danial Azli berkata, program sempena sambutan Hari OKU Sedunia itu disertai 50 OKU fizikal kaki dan tangan serta berkerusi roda dari negeri ini, Kuala Lumpur dan Selangor. 

Katanya, ia membantu menunjukkan kepada masyarakat yang OKU juga boleh melakukan aktiviti air dan lasak, selain dapat menonjolkan jati diri OKU dalam berhadapan cabaran dilalui. 

“Cabarannya ialah dari segi kekuatan tangan macam saya sendiri adalah cacat tangan jadi apabila mendayung menggunakan kekuatan tangan, kami rasa macam diri kami ini biasa saja, boleh melakukan aktiviti seperti insan normal,” katanya. 

Program berkenaan merupakan anjuran Sahabat OKU Perak dengan kerjasama Persatuan Kenu Negeri Perak, Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Negeri Perak (Baiduri) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya