Bayi perlu RM60,000 untuk pembedahan jantung  - Utusan Malaysia

Bayi perlu RM60,000 untuk pembedahan jantung 

RAISYA ZAMEENA Abdul Rashid yang mempunyai masalah kecacatan jantung memerlukan dana dan sumbangan daripada orang ramai berjumlah RM60,000 untuk menjalani pembedahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKTI MERTAJAM: Ketika dilahirkan kira-kira empat minggu lalu, Raisya Zameena Abdul Rashid tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau gejala yang ganjil kecuali mengalami masalah kekuningan atau jaundis seperti bayi-bayi lain. 

Hasil pemeriksaan doktor pada ketika itu juga menunjukkan tidak ada apa-apa perubahan pelik pada bada si kecil tersebut sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah. 

Bagaimanapun, perubahan pada badan bayi itu berlaku secara perlahan-lahan iaitu apabila memasuki hari ke-18 selepas bibir Raisya Zameena mula menjadi ungu dan kadar pernafasannya juga berubah menjadi tidak normal. 

Perubahan itu disedari bapanya, Abdul Rashid Abd. Latif, 31, berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya sebagai seorang kakitangan perubatan. 

Abdul Rashid mengesyaki anaknya itu mempunyai masalah berkaitan jantung sebelum bayi tersebut dibawa ke Hospital Baling, Kedah sebelum ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut, baru-baru ini. 

Pengerusi One Hope Charity and Welfare Bhd, Datuk Chua Sui Hau berkata, doktor yang bertugas di HPP kemudian mengesahkan Raisya Zameena mempunyai masalah kecacatan jantung. 

Justeru, katanya, satu pembedahan perlu dijalankan dalam tempoh enam minggu selepas dilahirkan untuk menyelamatkan nyawa bayi tersebut. 

“Kos pembedahan Raisya Zameena adalah sebanyak RM110,000. Bapanya (Abdul Rashid) yang berpendapatan RM7,000 sebulan termasuk elaun serta ibu bayi berkenaan, Zuraikha Azrin Azmi, 28 yang tidak bekerja bagaimanapun hanya mampu mengumpul dana sebanyak RM50,000. 

“Sehubungan itu, pasangan terbabit telah meminta bantuan daripada One Hope Charity and Welfare untuk mengumpul baki RM60,000 melalui kutipan derma daripada orang awam bagi menyelamatkan anak mereka dan pihak kami juga telah bersetuju selepas membuat pengesahan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Sui Hau, sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity ke akaun Public Bank Berhad atas nama pertubuhan itu di nombor 3193433435. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya