PASIR MAS: Awas, individu di negeri ini yang berkumpul beramai-ramai dan lalai terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika keluar rumah untuk ‘berpesta air’ akan dikenakan kompaun serta-merta.
Demikian tegas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berikutan budaya keluar bermain air banjir beramai-ramai sepanjang musim tengkujuh sudah pun bermula di negeri ini.
Beliau berkata, pematuhan SOP dimaksudkan merangkumi amalan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa.
“Jika gagal, kompaun boleh dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
“Nasihat saya kepada seluruh masyarakat, sebaik-baiknya jauhilah aktiviti berkumpul secara beramai-ramai pada musim banjir ini bagi memutuskan rantaian pandemik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kotak Rezeki Kepada Balu dan Anak-anak Yatim Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE