KUALA TERENGGANU: Banjir fasa pertama yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu pulih sepenuhnya hari ini dengan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, di sini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS itu ditutup mulai pukul 12 tengah hari ini selepas kesemua 26 mangsa banjir membabitkan sembilan keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, keseluruhan penduduk yang terjejas banjir bagi fasa pertama ini adalah seramai 224 orang daripada 75 keluarga.
“Sepanjang tempoh lima hari itu, sebanyak 10 PPS dibuka dengan masingt-masing satu di daerah ini dan Besut diikuti enam di Setiu manakala Kuala Nerus (dua),” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat tengah hari ini, keadaan cuaca di seluruh negeri baik tanpa hujan.
Jabatan Meteorologi Terengganu menjangkakan episod hujan lebat berterusan bermula semula Khamis ini. – UTUSAN ONLINE