Bajet Perlis 2022 fokus pulihkan ekonomi, kesejahteraan rakyat - Utusan Malaysia

Bajet Perlis 2022 fokus pulihkan ekonomi, kesejahteraan rakyat

AZLAN MAN (dua dari kanan) bersama barisan Exco kerajaan negeri menunjukkan buku Bajet Perlis 2022 yang dibentangkan dalam sidang DUN Perlis di Kompleks DUN Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri membentangkan Bajet 2022 dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM306.83 juta, iaitu penyusutan 2.68 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM176.58 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM130.25 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Katanya, Bajet 2022 juga menganggarkan hasil sebanyak RM109.24 juta yang diperoleh iaitu daripada hasil cukai sebanyak RM21.4 juta, hasil bukan cukai (RM21.45 juta) dan terimaan bukan hasil (RM66.39 juta).

“Dalam keterbatasan keupayaan kewangan, Bajet 2022 lebih memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negeri di samping penumpuan kepada program-program yang menjurus kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Pelbagai program dan projek yang dibentangkan semestinya mengambil kira keperluan rakyat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN Kangar, di sini hari ini.

Tambah Azlan, secara keseluruhan, bajet kali ini yang bertemakan Kesalingan Pemimpin – Rakyat, Pemangkin Kelangsungan Kemakmuran dan Kesejahteraan itu adalah defisit sebanyak RM67.34 juta ataupun penurunan sebanyak 0.25 peratus berbanding 2021. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN