MELAKA: Persidangan Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 akan diadakan selama empat hari mulai 27 Disember hingga 30 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sebagai mematuhi peraturan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) serta syarat-syarat yang dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, persidangan akan berlangsung mulai pukul 9.30 pagi sehingga 1 tengah hari sahaja.
Beliau memaklumkan, ia adalah persidangan pertama (khas) yang telah dijadualkan setelah pembentukan kerajaan negeri baharu pada 20 November lalu.
“Antara agenda persidangan tersebut adalah pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka, pelantikan Yang Dipertua DUN dan timbalan serta angkat sumpah yang berhormat ahli-ahli DUN.
“Dalam perkembangan lain, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 8 Disember, telah memutuskan Ahli MMKN (Exco) diminta menyediakan sasaran kerangka kerja (SKK) untuk portfolio masing-masing, sama seperti kakitangan awam yang perlu menyediakan sasaran kerja tahunan (SKT).
“SKK itu perlu mengambil kira aku janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulaiman menambah, SKK juga perlu mengambil kira tempoh masa iaitu 100 hari, setahun hingga lima tahun selain perancangan baharu yang mahu dilaksanakan, mengikut portfolio masing-masing.
Katanya, selain itu, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan kad laporan kepada semua Exco, di mana prestasi mereka akan dinilai.
“Exco diminta membentangkan pencapaian semasa SKK, KPI dan kad laporan, bagi portfolio masing-masing pada minggu pertama setiap bulan.
“Kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemantauan Manifesto yang akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan aku janji dan inti pati manifesto oleh semua Exco,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE