Analisis burung hijrah kenal pasti punca jangkitan JE - Utusan Malaysia

Analisis burung hijrah kenal pasti punca jangkitan JE

MOHD. Hayati Othman (tengah) meninjau kawasan parit yang tersumbat selepas merasmikan Program Gotong Royong Perdana Pasca Banjir Musim Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di Kampung Malau, Kuala Ketil, Baling hari ini. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING:  Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menghantar beberapa ekor burung hijrah untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti punca jangkitan Japanese Encephalitis (JE) sehingga menyebabkan tiga kematian, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman berkata, burung itu ditangkap Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di kawasan sekitar kes di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

“Kita sudah menghantar sampel burung itu ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk diteliti punca jangkitannya.

“Ia memerlukan sedikit masa berikutan pihak penyelidikan perlu mengkaji mengenai virus itu dan bukan senang dapatkan keputusan segera kerana ia terpaksa melalui beberapa ujian dengan tikus untuk lihat kesannya,” katanya selepas Program Gotong Royong Perdana Pasca Banjir Musim Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di surau Kampung Bukit, Kuala Kuang, Mukim Kupang, di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dijangka diperoleh tidak lama lagi dan sehingga kini tiada kes baharu dilaporkan.

Pada November lalu, akhbar melaporkan, JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan tersebut pada bulan itu. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN