KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju tidak boleh menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, calon pilihan raya tidak boleh menarik diri selepas penamaan calon pada pukul 10 pagi.
Katanya, ini seperti yang termaktub di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
“Sekiranya calon menyatakan hasrat untuk menarik diri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan nama beliau daripada pencalonan, dan namanya akan terus kekal pada kertas undi,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya beberapa jam lalu.
Justeru beliau berkata, jika Ali mendapat undi tertinggi selepas mengumumkan penarikan diri, beliau masih akan diumumkan sebagai pemenang.
“Saya mencadangkan agar Datuk Ali meneruskan kempen dengan memberi sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.
“Ini adalah langkah terbaik untuk memastikan pengundi tidak berada di dalam keadaan keliru,” katanya.
Semalam, Ali membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di Krian.
Katanya, keputusan itu dilakukan setelah mempertimbangkan dengan penyertaannya dalam pilihan raya negeri mungkin menyebabkan jalinan kerjasama dan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS akan terjejas.
Isnin lalu, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.
Ali berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Danny Kuan.
Ali adalah penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR. Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.