Ali Biju dari susah ke senang, PKR, sanggup pula ditinggalnya - Wan Azizah - Utusan Malaysia

Ali Biju dari susah ke senang, PKR, sanggup pula ditinggalnya – Wan Azizah

WAN Azizah Wan Ismail ketika ditemui selepas hadir pada sesi jelajah mesra bagi memberi sokongan kepada Mahmud Epah (Asajaya).- UTUSAN/HARITH AUFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju meninggalkan PKR pada Februari lalu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah atas kapasiti dan hak individu.

Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, adalah mengecewakan apabila Ali yang dahulunya pernah susah bersama-sama PKR namun meninggalkan parti itu selepas mendapat kesenangan.

“Dia sudah menjadi timbalan menteri, dulunya daripada kita tolong sampai ke saat itu dan dia telah tinggalkan kita, itu hak dialah.

“Tapi saya rasa kecewa daripada susah sampai ke senang kita ditinggalkan (oleh Ali),” katanya kepada pemberita selepas sesi Jejalah Ranting Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir dalam acara itu ialah calon DUN Asajaya dari PKR, Mahmud Epah, sebelum meneruskan sesi pengenalan calon kepada pengundi di pekan Asajaya, di sini.

Beliau ditanya pemberita mengenai tindakan Ali yang menarik diri sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Wan Azizah bagaimanapun tidak menjawab soalan diajukan pemberita sebaliknya, mengimbas kembali tindakan Ali yang meninggalkan PKR dan kemudian menyertai Bersatu pada Februari tahun lalu.

Isnin lalu, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian. Keputusan itu bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini yang menafikan beliau akan menyerahkan kerusi itu kepada GPS.

Tindakannya itu antara lain bertentangan dengan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan Bersatu tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

Semalam, Ali mengumumkan menarik diri sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada PRN Sarawak setelah mempertimbangkan dengan penyertaannya dalam pilihan raya negeri mungkin menyebabkan jalinan kerjasama dan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini pula berkata, Ali tidak boleh menarik diri daripada bertanding selepas penamaan calon pada pukul 10 pagi.

Jika Ali meraih undi tertinggi pada hari pengundian Sabtu depan, beliau masih disahkan sebagai pemenang kerusi Krian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN