LIPIS: Penduduk Kampung Kechau Tui di sini terkejut melihat keadaan air Sungai Kechau Tui bertukar menjadi hijau dengan tiba-tiba sejak awal pagi semalam.
Kejadian berkenaan adalah pertama kali berlaku melibatkan sungai sepanjang kira-kira tiga kilometer tersebut.
Seorang penduduk kampung, Azman Ismail, 55, berkata, penduduk terkejut melihat air sungai itu berwarna hijau dan mengalir terus ke Sungai Jelai.
“Mungkin bahan kimia kerana kalau sisa perlombongan ia biasanya berwarna keruh dan paling teruk pun berwarna hitam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azman, penduduk kampung telah melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa untuk pemantauan lanjut dan setakat ini belum ada ikan yang ditemukan mati dalam sungai berkenaan.
Beliau berkata, penduduk bimbang kejadian itu akan memberi kesan khususnya kepada penternak ikan sangkar dan kolam di sepanjang Sungai Jelai.
Sementara itu Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Mohd. Sani Mat Daud berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang kejadian dan telah melakukan pemantauan di kawasan kejadian.
“Pada masa ini siasatan giat dilakukan termasuklah bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya.










