JOHOR BAHRU: Sejumlah 87 kompaun dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor kepada premis yang dikesan gagal mengasingkan bahan kitar semula dalam sisa buangan mereka.
Pengarah SWCorp Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, nilai kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM4,750 dan kesemua denda itu telah dibayar pihak terlibat.
Katanya, sejak 1 Januari lalu, pihaknya telah memeriksa sebanyak 210,000 premis kediaman di seluruh negeri.
“Bermula dari September 2016, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang untuk mengasingkan bahan buangan kitar semula daripada sisa buangan biasa.
“Mana-mana pihak yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000,” katanya selepas Program Mendaya Komuniti Sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Johor 2021, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE