SHAH ALAM: Petugas barisan hadapan seramai 42 orang antara penerima utama darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena menyambut ulang tahun keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72, Sabtu ini.
Kesemua petugas barisan hadapan itu adalah sebahagian daripada 87 penerima yang mendapat perkenan baginda untuk menerima sembilan darjah dan bintang kebesaran termasuk dua membawa gelaran Datuk Seri, Datuk dan Datin Paduka.
Jumlah penerima itu diperkenan selepas sebanyak 2,100 permohonan diterima, 990 daripadanya adalah permohonan pencalonan bagi darjah dan bintang kebesaran sementara 1,110 lagi bagi pingat-pingat negeri.
Daripada 990 pencalonan itu juga, hanya 17 penerima atau 1.7 peratus sahaja yang mendapat perkenan Sultan Sharafuddin untuk menerima darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk dan Datin Paduka.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, baginda mengutamakan petugas barisan hadapan sebagai penerima bagi menghargai jasa dan pengorbanan dalam menangani wabak Covid-19.
“Tumpuan juga pada kali ini diberikan kepada penyelaras yang mengendalikan pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi berbanding di negeri-negeri lain.
“Semua calon melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi keselamatan dan jenayah, Jabatan Insolvensi serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun dimaklumkan, istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu tidak akan diadakan pada 11 November ini, sebaliknya ditangguhkan pada satu tarikh yang diberitahu kemudian. – UTUSAN ONLINE