PETALING JAYA: Sebanyak 4.2 juta rakyat negara ini menerima suntikan dos penggalak setakat malam tadi, dengan 162,147 dos penggalak yang diberikan pada semalam.
Berdasarkan laman Covid Now, bagi suntikan vaksinasi pula, sebanyak 172,511 dos yang diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan adalah sebanyak 55.5 juta dos.
Dalam pada itu, sebanyak sebanyak 25.5 juta atau 78.2 peratus populasi keseluruhan negara ini lengkap menerima suntikan vaksinasi, manakala 408,757 atau 1.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Semalam, media melaporkan, semua penerima vaksin Covid-19 berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari tahun depan bagi mengekalkan status lengkap divaksin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya kumpulan individu dinyatakan itu masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.
“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE