3 remaja belasan tahun mohon semakan kehakiman dibenar mengundi - Utusan Malaysia

3 remaja belasan tahun mohon semakan kehakiman dibenar mengundi

ADDAM Johanson Jeremy Shayne (dari kiri), Ivan Alexander Ong, George Lo (counsel), Clement Wong, Simon Siah, Then Siaw Lian dan Avril Clarice Chin mengenai semakan kehakiman undi 18 tahun ke Mahkamah Tinggi Kuching.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tiga individu berusia 18 tahun membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini berhubung kebenaran supaya Undi18 dilaksanakan bagi membolehkan mereka memilih calon wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Clement Wong berkata, semakan kehakiman itu dibuat kerana anak-anak guamnya bernama Avril Clarice Chin, 18; Ivan Alexander Ong, 19; dan Addam Johanson Jeremy Shayne, 19, tidak dapat mengundi ketika usia mereka sudah melepasi syarat ditetapkan kerajaan.

Sedangkan katanya, hak untuk mengundi seawal usia itu sudah diperuntukkan dalam Perkara 119 (1) Perlembagaan bahawa warganegara yang telah mencapai usia 18 tahun pada tarikh kelayakan, bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya, didaftarkan sebagai pemilih berhak mengundi dalam pilihan raya.

“Semakan ini dibuat kerana nama mereka belum disenarai dan diwartakan dalam senarai pemilih pilihan raya sedangkan mereka berhak dan dijamin dalam undang-undang.

“Jadi, ketiga-tiganya memohon kepada mahkamah sama ada nama mereka disenaraikan secara automatik dan layak mengundi di usia ini atau jika tidak boleh, pilihan raya perlu ditunda hingga nama mereka dimasukkan dalam senarai pemilih.

“Sementara menunggu pelupusan penuh dan muktamad bagi permohonan semakan kehakiman tersebut, pemohon juga memohon pelepasan sementara untuk menangguhkan pelaksanaan dan penguatkuasaan notis pilihan raya bertarikh 25 November 2021.

“Kami akan cuba meyakinkan mahkamah untuk tampil dengan keputusan semakan kehakiman sebelum pilihan raya negeri berlangsung. Apapun keputusannya, terpulang kepada hakim Mahkamah Tinggi, tetapi di pihak kami, ia sudah mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khamis minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada PRN Sarawak.

Katanya, PRN pada kali ini hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November lalu sekalipun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut, selain daftar pemilih pilihan raya diperakui sebelum pembubaran DUN selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Pada 29 September lalu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, sejumlah 5.8 juta pemilih berusia 18 tahun dan ke atas boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik bermula 1 Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.

Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN