MENYEBUT perihal yang satu ini, tidak dapat dinafikan, timbul perasaan sayu di hati mengenangkan nasib genre muzik ini yang semakin lama semakin diketepikan.
Atau, salahkah jika dikata irama Malaysia, walau di tanah air sendiri, bagaikan sudah dianak tiri?
Sedangkan ia sepatutnya dianggap sebagai antara satu khazanah negara yang harus terus dipelihara dan dijaga daripada satu generasi kepada satu generasi kita.
Kalau dibandingkan dengan era kegemilangannya sebelum ini, dalam suasana sekarang, boleh dibilang dengan jari, berapa kerat sangatlah penyanyi yang benar-benar mahu memartabat dan memperjuangkan seni irama Malaysia.
Sama ada dihuni dengan rasa malu, kononnya tidak komersial, atau kononnya sasaran pasarannya terlalu kecil atau bersifat bermusim, tentu sahaja akan sentiasa wujud seribu satu alasan atau jawapan.
Walhal, di negara orang seperti di India misalnya, dunia Bollywood berada di tampuk keagungannya tersendiri, memperlihatkan betapa rakyatnya sendiri menyanjung dan mahu memelihara irama kebudayaan mereka sehingga dikenali di mata dunia.
Lalu, apa sudah jadi dengan irama Malaysia ini? Beberapa pandangan telah Pancaindera rangkumkan di sini buat para pembaca yang budiman.
Lagu irama Malaysia masih ada dan akan kekal relevan – Asmidar
Tanyakan pada generasi hari ini tentang irama Malaysia. Mungkin mereka akan senaraikan rentak yang bercampur dengan genre lain seperti balada dan pop.
Paling tidak pun, mereka mungkin kenal lagu Cindai dan Nirmala nyanyian penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu irama Malaysia, Asmidar Ahmad, lagu irama malaysia masih ada dan akan kekal evergreen sampai bila-bila.
“Cuma tidak begitu popular dalam arus perdana kini. Walaupun telah dirojakkan dengan cita rasa pop atau rap dan sebagainya, tetapi irama Malaysia masih ada.
“Dukacitanya, genre ini sudah tidak lagi popular seperti zaman dahulu. Namun, pengikut dan peminat lagu-lagu berkenaan masih ramai dan setia memberi sokongan pada setiap karya lagu irama Malaysia yang dihasilkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai ke mana perginya irama tersebut pada era kini, Asmidar atau nama penuhnya Norhasmidar Ahmad, bersyukur dan bangga dengan genre yang dibawa itu.
Katanya, perkara itu telah menjadi tanggungjawabnya untuk terus memberi warna dalam industri seni dan membawa genre ini di mana saja dia pergi.
“Saya mahu genre ini meledak sekali lagi. Saya harap genre irama Malaysia ini diberikan perhatian sama rata oleh radio dan stesen TV supaya tidak suram.
“Pembaharuan dan sentuhan yang lebih segar harus diberi agar irama Malaysia tidak dipandang skeptikal oleh segelintir golongan yang kurang faham.
“Sebab itu saya mengeluarkan lagu Sireh Pinang sebagai permulaan langkah saya untuk memberitahu pada masyarakat, bahawa lagu tradisi ini boleh dipelbagaikan,” jelasnya.
Mengakhiri perkongsian, dia gembira dengan perjalanan seni muzik tradisionalnya kerana sering diberi kepercayaan dan cabaran untuk mewarnakan lagu irama Malaysia menjadi lagu fusion dan kreatif.
“Proses ini sangat membuka minda saya dan sangat menarik,” akhirinya.
Wajar berikan tempat untuk lagu irama Malaysia – Bob Yusof
Bagi pendapat penyanyi Bob Yusof, industri muzik tempatan bukanlah ‘ketandusan’ lagu bergenre Irama Malaysia, tetapi ia sudah digubah dan disuntik kepada elemen-elemen baharu.
Bagaimanapun, penyanyi ini tidak menafikan industri ini dilihat ‘malap’ kerana kekurangan ciptaan lagu yang baharu untuk genre ini.
“Saya boleh katakan kekurangan mencipta lagu baharu irama Malaysia itu yang menyebabkan mungkin industri genre ini sendiri menurun.
Namun saya percaya, kini sudah mula banyak kembali lagu-lagu genre ini yang diperbaharui dari struktur penciptaan. Sebagai contoh lagu Canggung dan Intan Patung.
“Ia ada suntikan baru. Jadi, dengan adanya elemen tradisi yang tambah baik dengan dicampurkan dengan unsur rap dan moden,” katanya.
Mengulas lanjut, penyanyi popular Cinta Terhalang ini berkata, genre ini patut diberikan kategori khas yang sewajarnya dalam industri muzik tanah air.
Bob juga menitipkan harapan agar stesen televisyen dan radio memainkan peranan dalam memberi ruang bagi mengetengahkan semula lagu-lagu irama Malaysia.
“Saya rasa kita wajar berikan tempat untuk lagu-lagu irama Malaysia. Kita perlu wujudkan semula satu kategori yang lain supaya tidak ‘menghilangkan’ genre ini. Bukan tiada yang mencipta lagu irama Malaysia.
“Tetapi ia sudah digubah kepada elemen-elemen baharu. Namun, saya tetap mengharapkan agar irama Malaysia ini tidak pernah hilang kerana ia adalah muzik kita dan lambang muzik tradisional Malaysia.
“Sepatutnya, kita seharusnya tidak meminggirkan usaha komposer yang berkarya dalam genre ini. Saya percaya pihak radio dan stesen televisyen sepatutnya memberi ruang yang terbaik untuk lagu-lagu ini sentiasa diketengahkan,” ujarnya ketika ditemu bual.
Elemen itu masih ada, cuma tidak diisytiharkan – Noraniza Idris
Terkenal sebagai seorang penyanyi yang memperjuangkan seni irama tradisional di negara ini, Noraniza Idris, 53, melihat situasi ini tidak sampai ke tahap yang buruk kerana baginya, masih ada kalangan penyanyi lain yang membawakan unsur ini.
Namun, ia tidak begitu ketara kerana ia lebih bersifat suntikan irama Malaysia ke dalam sesebuah karya yang mengikut arus muzik semasa.
“Sebenarnya ada sahaja irama ini dalam elemen lagu-lagu sekarang. Cuma ia tidak diisytiharkan sebagai lagu irama Malaysia. Ia disuntik ke dalam lagu-lagu ciptaan baru. Barangkali, kerana irama Malaysia itu kedengarannya terlalu tradisional.
“Tapi, saya beri contoh, lagu Intan Payung nyanyian saya dan Bunga, itu sebenarnya dalam kategori irama Malaysia. Cuma, bila ada gabungan rap itu, ia sudah jadi fusion, jadi orang tak isytiharkannya sebagai irama Malaysia.
“Satu lagi penyanyi yang ada elemen ini, Altimet. Saya tak rasa yang survival lagu tradisional itu tidak gah tetapi keunikannya tetap ada disuntik dalam lagu-lagu sekarang. Ia masih lagi relevan dan digunapakai sebagai identiti Malaysia. Cuma, ia mengikut cara penyampaian komposer-komposer baru,”katanya.
Selain itu, kata Noraniza, dia percaya masih ada pendengar dan peminat lagu-lagu irama Malaysia namun tidak menolak golongan penyanyi dan komposer tanah air juga harus ada inisiatif untuk terus berkarya dan menerbitkan lagu-lagu sedemikian.
“Kita faham yang dunia komposisi sesebuah lagu itu juga berevolusi dan ada transformasi mengikut peredaran zaman.Kalau dulu, kita ada S.Atan, Rosli Selasih, atau arwah Pak Ngah, itu semua ada sentuhan tersendiri dalam berkarya.
“Komposer baru juga sama, berevolusi dan ada cara sendiri bagaimana nak ketengahkan muziknya mengikut peredaran dan penerimaan semasa. Tapi saya harap masing-masing ada inisiatiflah untuk suntik elemen irama Malaysia ini.
“Macam saya, apa yang dilakukan selama ini memang atas dasar tanggungjawab sosial dan prinsip diri. Bagi saya, kalau bukan kita, siapa lagi yang kena pelihara dan teruskan irama ini.
“Kalau tak terapkan nilai-nilai ini sekarang, renungkan sejenak, apa akan jadi pada generasi akan datang yang tak kenal identiti dan jati diri? Budaya kita, wajah kita,” katanya.
Penerimaan muzik tradisional dan asli bukan macam dahulu – Salwa Abdul Rahman
Penyanyi berpengalaman, Salwa Abdul Rahman tidak menafikan bahawa lagu-lagu tradisional dan asli semakin dipandang sepi.
Kata Salwa keadaan itu mungkin sekali disebabkan generasi sekarang kurang menerima pendedahan dan mengakibatkan penerimaan mereka terhadap muzik genre tersebut agak rendah.
“Entahlah, susah nak cakap. Penerimaan muzik tradisional dan asli bukan macam dahulu. Budak sekarang tahu lagu-lagu jenis itu. Tapi untuk mereka terima mungkin agak sukar,” katanya.
Kata Salwa dia bagaimanapun berterima kasih kepada penyanyi-penyanyi berpengalaman seperti Noraniza Idris dan bekas peserta Akademi Fantasia 4, Hazwan Haziq Rosebi atau Haziq yang masih memartabatkan muzik genre itu.
“Nasib baik ada mereka ini yang mengangkat lagu tradisional dan asli. Nak harapkan pelapis, tak jumpa.
“Muzik tradisional Melayu lenggoknya lain. Lebih-lebih lagi lagu asli. Saya kagum dengan Haziq sebab dia boleh membawa lagu-lagu asli dengan baik sekali.
“Buat masa ini, saya tak nampak lagi generasi baharu yang betul-betul boleh menyanyi lagu asli atau tradisional. Kalau irama Malaysia yang kontemporari itu ada,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Salwa meminta agar stesen radio tempatan tidak melupakan lagu tradisional dan asli.
Katanya, platform itu memainkan peranan penting dan berkesan dalam memelihara lagu-lagu Melayu tradisional dan asli dari mati ditelan zaman.
“Peranan radio penting. Kadang, ada juga artis buat lagu tapi radio tak terima. Lagu (asli dan tradisional) perlu selalu diputarkan di radio. Baru orang kenal.
“Dahulu, rancangan muzik-muzik ada mempertaruhkan kategori irama Malaysia. Sekarang sudah tak ada. Kalau boleh kita hidupkan kembali, tak mahu lagu-lagu ini mati begitu sahaja,” ujarnya.