PUTRAJAYA: Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menafikan dakwaan media Hong Kong kononnya Sabah bakal ditawan oleh kumpulan pemberontak Tentera Diraja Sulu (RSA).
Pesuruhjayanya, Datuk Idris Abdullah berkata, laporan berkenaan dianggap sebagai tiada asas malah pasukan keselamatan negeri ini tidak mengesahkan kesahihan dakwaan itu.
“Setakat ini, kami tidak terima sebarang laporan dan mungkin pihak media kena tanya akhbar itu dari mana dapat tahu sebab saya sendiri pun tak tahu,” katanya kepada portal tempatan.
Hari ini, sebuah akhbar berpangkalan di Hong Kong, China melaporkan konon sejumlah 600 anggota pemisah RSA bersiap sedia menawan Sabah menjelang akhir Februari tahun depan.
Ia diakui Pengerusi Institut Kajian Keamanan, Keganasan dan Pengganas Filipina, Rommel Banloi, yang juga profesor pakar sains politik antarabangsa terkenal di negara berkenaan.
Berdasarkan laporan itu, kumpulan perancang mengarahkan sekurang-kurangnya 200 orang perisik RSA untuk menyusup masuk ke pelbagai kawasan di Sabah beberapa bulan lepas.
Sumber media berkenaan turut tidak menolak kebarangkalian kewujudan ejen pengintip asing yang sudah lama bertapak di Sabah dengan mahir menyamar sebagai penduduk tempatan.
Mengulas lanjut, Idris bagaimanapun menyangkal dakwaan akhbar berwibawa pulau itu dan menganggap ia sebagai khabar angin bagi mencetuskan suasana panik masyarakat Sabah.
“Dari aspek keselamatan, meskipun maklumat media tersebut tampak macam mengarut, kami (polis Sabah) tetap tidak memandang ringan dengan segala jenis ancaman asing,” tegasnya.
Beliau namun melihat isu itu sengaja ditimbulkan sebagai kempen politik menjelang Pilihan Raya Presiden Filipina Ke-17 pada 9 Mei tahun depan bagi meraih populariti undi rakyatnya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan laporan spekulasi liar sedemikian dicetuskan untuk menjejaskan perkembangan proses pemulihan ekonomi dan pelancongan di Sabah ketika ini.
Isu panas tersebut turut dibangkitkan Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking ketika sesi perbahasan dalam Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu pada hari ini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor dalam jawapan balasnya berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara berkenaan tetapi akan menyiasatnya.