ALOR SETAR: Seramai 133 individu dikesan positif Covid-19 melibatkan pekerja sebuah kilang dan ahli keluarga mereka yang membabitkan kluster industri baharu dikenali sebagai Kluster Dah Meha Industri Kulim.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, mereka yang disahkan positif terdiri daripada 97 pekerja kilang dan 36 kontak keluarga.
Katanya, kluster itu dikesan menerusi saringan kendiri dijalankan pihak pengurusan kilang tersebut yang terletak di Mukim Padang Meha, Padang Serai dekat Kulim.
“Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 194 individu telah disaring dan 133 daripadanya didapati positif Covid-19. Taburan kes positif melibatkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua individu yang disahkan positif cuma bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi.
“Kesemua mereka kini diarahkan menjalani kuarantin di rumah. Siasatan awal Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mengesyaki penularan jangkitan mungkin berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, seperti di surau.
“Selain itu, jangkitan juga mungkin berpunca daripada kegiatan rekreasi melibatkan kumpulan pekerja seperti aktiviti kembara bermotosikal dan futsal,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemunculan kluster tersebut.
“Keadaannya bagaimanapun masih terkawal dengan pihak pengurusan kilang telah diarahkan untuk mengemas kini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang tersebut. Dalam masa sama orang ramai diseru untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP digariskan kerajaan dalam kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN ONLINE