KOTA MARUDU: Seramai 116 orang mangsa banjir daripada 38 keluarga dipindahkan setelah beberapa kampung dilanda banjir akibat hujan berterusan semalam.
Mangsa yang terdiri daripada 56 lelaki dan 60 wanita itu dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan St Theresa dan Dewan Sekolah Menengah Gosen.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan itu dari Kampung Rakit, Kampung Damai dan Kampung Kampar.
Beliau berkata, berikutan paras air sungai meningkat, pasukan bomba masih melakukan operasi pemindahan mangsa ke PPS.
Setakat 10 pagi tadi, paras air Sungai Bangon berada pada paras bahaya.
Menurutnya, operasi pemindahan mangsa banjir ini melibatkan 10 pegawai dan anggota bomba dengan menggunakan sebuah lori serta bot untuk masuk ke kawasan yang dinaiki air.
Pemantauan dan rondaan di kawasan yang berisiko tinggi masih dilakukan.