Warga Palestin terus dapat pembelaan - Utusan Malaysia

Warga Palestin terus dapat pembelaan

AHMAD Marzuk Shaary (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dana kepada warga Palestin di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Nasib warga Palestin yang menetap di negara ini terus mendapat perhatian banyak pihak.

Terbaharu, seramai 50 warga Palestin yang terjejas akibat Covid-19 menerima sumbangan dana bagi meringankan beban mereka menerusi kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yayasan Waqaf Malaysia dan rakan pertubuhan bukan kerajaan, Hand of Charity.

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Ahmad Marzuk berkata, penyaluran sumbangan itu adalah bukti Yadim menyantuni seluruh masyarakat merentasi ideologi dan budaya.

“Hal ini bertepatan dengan misi Yadim iaitu untuk menyebar luas kegiatan dakwah menerusi kebajikan, pendidikan dan sosial untuk meninggikan martabat Islam dan kesejahteraan ummah.

“Penyaluran sumbangan ini juga diharap dapat membantu warga Palestin dan sebagai penanda aras bahawa Yadim sentiasa cakna dengan kebajikan masyarakat bukan sahaja warga Malaysia tetapi juga saudara Islam yang lain,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama pada majlis itu yang diadakan di Kuala Lumpur ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof. Madya Dr. Amir Shaharudin dan Pengurusi Eksekutif Hand of Charity, Abdul Rahman Hanini.

Sementara itu, Tuan Kamarul berkata, inisiatif membantu warga Palestin oleh pihaknya sudah bermula sejak insiden serangan Israel ke atas Gaza pada tahun ini.

Jelasnya, selain sumbangan dana, bantuan juga disampaikan kepada para pelajar yang mengikuti pengajian di negara ini.

Secara keseluruhan, seramai 289 warga Palestin dibantu menerusi inisiatif tersebut, iaitu 150 orang masing masing menerima sumbangan di Ampang, Kajang dan Gombak.

Seramai 51 orang lagi menerima sumbangan menerusi perpindahan elektronik, sementara 71 lagi akan disampaikan sendiri oleh Hand of Charity.

Sebelum ini, sejumlah 10 orang menerima sumbangan ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN