Warga asing cabar Akta 342 boleh diusir pulang - Utusan Malaysia

Warga asing cabar Akta 342 boleh diusir pulang

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pas warga asing yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau Akta 342 dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, peringatan itu kerana terdapat warga asing yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

Katanya, mereka juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitamkan dari memasuki negara ini semula, sepertimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.

“Semua warga asing perlu mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Bagi warga tempatan yang menjadi penaja atau majikan kepada warga asing supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan warga asing ini patuh kepada arahan dan undang-undang negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Utusan Online hari ini melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan wanita warga asing yang dikatakan tidak memakai pelitup muka di sebuah taman di pusat beli-belah terkenal di ibu negara.

Ini susulan satu ciapan gambar di Twitter yang tular yang menunjukkan wanita tersebut dilihat berjalan kaki di sekitar taman pusat beli-belah tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Siasatan sedang dijalankan dan seterusnya kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tular sejak semalam gambar wanita warga asing didakwa ‘Karen’ yang dilihat berjalan kaki di taman sebuah pusat beli-belah terkemuka tanpa memakai pelitup muka.

Sebelum ini, media melaporkan wanita terbabit turut menimbulkan kekecohan apabila enggan memakai pelitup muka ketika hendak masuk ke sebuah butik mewah di pusat beli-belah sama di ibu negara.

Susulan itu, wanita berasal dari Perancis itu dikenakan tindakan kompaun RM3,000. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN