PUTRAJAYA: Pemimpin siasah di negara ini ditegur kerana ada yang cuba mempolitikkan isu Undi18 sehingga mengakibatkan kekeliruan dan kesilapan maklumat dalam kalangan rakyat.
Peringatan tersebut disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya 3 Januari depan susulan penyahwartaan Proklamasi Darurat, Rabu lalu.
“Sebenarnya alasan amat mudah dan jujur kenapa tidak boleh dilaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum lagi bersedia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan proses itu, tambah beliau, memerlukan persediaan cukup rapi terutama sistem pendaftaran secara automatik dan bukan kerana kerajaan takut undi pemilih berusia 18 tahun.
Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, kenyataan beliau dipercayai merujuk beberapa reaksi pemimpin DAP di Sarawak yang kecewa PRN Ke-12 itu berlangsung sebelum akhir tahun ini.
Mereka mendakwa kononnya kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang ketika PRN Ke-11 pada 2016 lalu akan tumbang kerana majoriti pengundi muda 18 tahun pro-DAP.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 2019 lalu bagi menurunkan had umur minimum pengundi turut melibatkan pendaftaran automatik.
“Banyak aspek perlu dibuat berperingkat terutama isu logistik, pengesahan alamat pengundi dan kemas kini daftar pemilih bagi dinyahsenarai mereka sudah meninggal dunia,” katanya.
Langkah itu turut melibatkan penyenaraian jutaan pengundi berusia 21 tahun ke atas yang sebelum ini belum sempat mendaftar atau malas berbuat demikian untuk dimasukkan sekali.
Untuk berlaku adil, katanya, SPR diberi kerangka masa sehingga 2023 berdasarkan pelan asal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 apabila genap lima tahun had matang Parlimen.
Malahan ujarnya, proses itu boleh lengkap sepenuhnya sekitar September 2022 depan namun langkah Undi18 dan pendaftaran automatik tersebut kemudian diarah untuk dipercepatkan.
“Ia juga sejajar ketetapan kerajaan tidak buat rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu mengarahkan perlu siap 31 Disember ini,” kata Wan Junaidi.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin politik bahawa isu itu wajar dilakukan dengan tertib agar tidak berlaku pertikaian dan mengelakkan isu ketidakstabilan kerajaan dipilih rakyat.
Beliau turut memaklumkan, apabila Undi18 diimplementasikan kelak, jumlah pendaftaran pemilih baharu melonjak 40 peratus atau 6.1 juta kepada 21.2 juta berbanding PRU Ke-14.
Sehubungan itu, pihak SPR berdepan tugas getir memutihkan senarai pemilih yang tidak layak terutama kes pengundi sudah meninggal dunia, gila atau menjalani hukuman penjara.
“Usaha ini perlu kerjasama pelbagai agensi untuk proses semakan bersilang terutama dari Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara,” jelas beliau.
Pada masa ini,katanya, SPR sudah pun mengesan pengundi berusia 90 tahun ke atas melibatkan lebih 7,000 individu yang diragui status keberadaannya dalam senarai pemilih lama. – UTUSAN ONLINE










