ISKANDAR PUTERI: Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat secara serentak dengan VTL udara mulai 29 November ini, menjadi pencetus semula ekonomi kedua-dua negara.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Johor khususnya yang memberi tumpuan berhubung isu berkenaan akan mendapat manfaat daripada langkah itu.
Menurut beliau, persetujuan dicapai kedua-dua negara itu adalah satu perkara yang pastinya melegakan rakyat masing-masing.
“Saya berpendapat pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19 bagi kedua-dua negara, khususnya di Johor.
“Memandangkan Johor merupakan jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi, apatah lagi Singapura adalah pelabur terbesar negeri ini sejak dahulu,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN ONLINE