PETALING JAYA: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM350 secara one-off kepada sejuta pesara kerajaan akan diberikan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.
Katanya, inisiatif itu telah dilaksanakan pada Bajet 2021 di mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara.
“Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada veteran ATM berpencen, pencen terbitan dan veteran ATM tidak berpencen.
“Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September lalu.
“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar bantuan khas ini dapat disalurkan kepada mereka menjelang Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 mengumumkan sejuta pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.
Selain itu, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700.
Langkah itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.










