Vellfire menteri cetus pertikaian - Utusan Malaysia

Vellfire menteri cetus pertikaian

SIM TZE TZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri-menteri kerajaan Persekutuan yang menggunakan kenderaan model Toyota Vellfire 2.5L terus hangat mencetus pertikaian di laman media sosial. 

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini dilihat kononnya sangat mesra rakyat, namun tanpa disedari menteri-menteri mendapat bantuan kenderaan Vellfire itu. 

Katanya, golongan menteri yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pas itu mendapat model kenderaan berkenaan sejak April tahun ini ketika rakyat sedang kehilangan kerja, syarikat lingkup dan kes membunuh diri yang semakin menjadi-jadi tahun ini. 

“Contohnya, orang muda dapat ewallet RM150 secara one off, penjawat awam pula mendapat RM700 one off. Rakyat pasti gembira kerana menerima bantuan tersebut. 

“Namun di sebalik pemberian sagu hati kepada rakyat ini, tanpa disedari, Menteri-Menteri Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pas itu sebenarnya dapat menikmati bantuan yang paling banyak apabila mereka mendapat ‘bantuan kereta Vellfire’ sebanyak RM 5,759.35 sebulan. 

“Hutang negara juga telah mencecah sehingga RM1.3 trillion. Hutang kerajaan telah mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Adakah kemewahan ini satu keperluan?,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Terdahulu, Tse Tzin berkata demikian bagi mengulas mengenai tangkap layar pemberitahuan pertanyaan lisan beliau dalam Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan perbelanjaan kerajaan menyediakan kereta rasmi Vellfire kepada Menteri-menteri sejak Mac 2020 dan jumlah jumlah perbelanjaan sewaan sesebuah kereta Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco sebulan. 

Menerusi jawapan yang disertakan, kerajaan telah memulakan proses penggantian kenderaan rasmi daripada model Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April tahun ini. 

“Kerajaan membayar kos pajakan bulanan Toyota Velifire 2.5L sebanyak RM5,759.35. Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74. 

“Sehingga September, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada Syarikat Konsesi,” tulis jawapan itu. 

Menurut Tse Tzin, kebanyakan mereka yang menjawat jawatan masa kini adalah mereka yang dahulunya lantang membantah kerajaan Perikatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan untuk menukar kenderaan rasmi. 

“Namun, sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu, segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut selat Melaka. 

“Paling nyata, Najib yang lantang membantah kerajaan PH, sekarang membisu  seribu bahasa. Rakyat dapat memerhatikan pendirian dan karenah  BN, PN dan PAS sebelum dan selepas mendapat kuasa. Tepuk jari tanya sendiri,” katanya. 

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam satu hantaran Facebooknya berkata, keputusan berkaitan menukar kenderaan rasmi itu kepada model Toyota Vellfire tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Kenapa salah Najib pula? Yang cadang Vellfire untuk menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa darurat dan tak ada parlimen, kerajaan Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Nak tanya, tanyalah pada ‘Atok’ dengan ‘Abah’ kau,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya