JASIN: UMNO Bahagian Jasin menegaskan sekali lagi menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, malam Sabtu lalu.
Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Ketua Bahagiannya, Datuk Hasan Rahman berkata, pihaknya dari awal lagi telah menyatakan pendirian berdiri teguh dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) apabila melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebagai calon Ketua Menteri.
“Saya kesal kenyataan saya sebelum ini telah disalah anggap oleh pihak tidak bertanggungjawab. Justeru, saya ingin jelaskan sekali lagi UMNO Bahagian Jasin menyokong penuh pelantikan Sulaiman tanpa berbelah bahagi.
“Melalui penjelasan ini, saya harap semua pihak faham pendirian kita. Apa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti kita akur dan tidak mempertikaikan langsung mengenai perkara tersebut.
“Kita yakin Sulaiman mampu membawa perubahan Melaka dan memulihkan negeri ini terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai yang terkesan sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan,” kata bekas ADUN Sungai Rambai itu di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemenangan dua pertiga BN dalam PRN Melaka, Hasan menegaskan, ia merupakan petunjuk rakyat mahu kestabilan politik dapat diwujudkan melalui pentadbiran kerajaan yang dipimpin Sulaiman.
Atas kesedaran itu jelasnya, BN telah membuat kejutan apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi pada PRN tersebut.
“Di Sungai Rambai, calon BN, Siti Faizah Abd. Azis menang disebabkan masyarakat di daerah ini kecewa sewaktu PH memerintah, mereka telah menutup beberapa infrastruktur kemudahan rakyat di daerah itu seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pejabat Daerah Kecil dan Mahkamah Rendah Syariah,” jelasnya.