TUDM perlu 24 lagi helikopter  - Utusan Malaysia

TUDM perlu 24 lagi helikopter 

ACKBAL Abdul Samad (depan) bergambar bersama peserta Eksesais Paradise Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memerlukan 24 lagi helikopter untuk memenuhi keperluan pasukan keselamatan itu terutama dalam melaksanakan operasi mobiliti udara.

Setakat ini, TUDM memililiki 12 helikopter EC725 bagi melaksanakan operasi dan penugasan utamanya termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, berdasarkan keperluan semasa, cabang ATM itu memerlukan 36 buah helikopter.

“Setakat ini kita (TUDM) ada 12 EC725, jadi kita perlu 24 lagi helikopter. Untuk itu, kira rancang dua strategi kepada kerajaan iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

“Untuk jangka pendek, diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis Agusta Westland AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat.

“Bagi pelan jangka panjang, TUDM berharap dapat memiliki 24 lagi helikopter bagi melengkapkan 36 helikopter yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penutup Eksesais Paradise Siri 8/2021 di Auditorium Inspra di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Eksesais Paradise dilaksanakan oleh TUDM selama 12 hari bermula pada 22 Oktober lalu sehingga hari ini.

Ackbal dalam pada itu berkata, pesawat pemintas MiG-29N kini dalam proses pelupusan setelah hampir tujuh tahun ia tidak diterbangkan.

“Kita (TUDM) tidak ada perancangan untuk menerbangkan pesawat ini. Ia dalam proses dilupuskan dan kita telah pun diluluskan perolehan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) bagi menggantikan MiG-29N.

“Sebanyak 18 pesawat diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) manakala 18 lagi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Beliau berkata, FLIT/LCA bukan sahaja akan menggantikan MiG-29N malah dua pesawat lain yang dimiliki TUDM iaitu Aermacchi M-346 dan Hawk yang juga dalam perancangan untuk dilupuskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya