KUALA LUMPUR : Mengorak langkah menerusi penghasilan single kedua berjudul Money selepas debut solo berjudul Lalisa, anggota kumpulan Blackpink, Lisa meraih kejayaan besar apabila lagu tersebut juga tersenarai dalam carta Hot 100 Billboard.
Berada di tangga 90, lagu Money itu juga membawa tuah buat Lisa yang sekali gus menyaksikan dirinya penyanyi solo Korea yang kedua memiliki lebih daripada satu lagu di carta tersebut selepas penyanyi CL.
Sebelum ini, CL berupaya menembusi carta antarabangsa itu menerusi lagu berjudul Lifted dan Daddy kolaborasinya dengan penyanyi popular Psy.
Kejayaan itu menepati ramalan ramai sejak pertama kali Money dilancarkan dan kemudiannya menjadi lagu K-Pop yang paling banyak didengari sehingga mampu mencapai 100 juta penstriman di aplikasi Spotify.
Menerusi pencapaian ini, ia juga menyaksikan Lisa sebagai anggota kumpulan Blackpink yang kedua berjaya menempatkan lagu solo di carta Hot 100 Billboard selepas Rose yang tampil dengan lagu berjudul On The Ground awal tahun lalu.
Lagu tersebut juga mendominasi tangga muzik domestik dan global termasuk di platform muzik global Spotify.
Dalam pada itu, muzik video Money juga telah ditonton sebanyak 200 juta kali oleh peminat-peminatnya di saluran Youtube dalam tempoh 38 hari ia dilancarkan.
Selain itu, untuk rekod, Money juga berupaya menduduki carta teratas untuk lagu di iTunes di 38 negara.