Tidak semua Undi18 akan mengundi pembangkang - Utusan Malaysia

Tidak semua Undi18 akan mengundi pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pembangkang di Sarawak perlu bersikap rasional dan jujur, bukannya memberi gambaran bahawa seolah-olah majoriti pengundi 18 akan mengundi pembangkang jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan selepas 1 Januari tahun depan.

Sebelum ini parti-parti pembangkang di Sarawak telah menyatakan bahawa jika PRN diadakan pada November tahun ini, ia akan menafikan undi mereka yang berumur 18 tahun kerana mereka hanya boleh berbuat demikian selepas 1 Januari 2022, sekali gus memberi gambaran seolah-olah mereka yang berumur 18 tahun akan semua mengundi pembangkang jika PRN diadakan selepas November dan 1 Januari tahun hadapan.

Menurut pemerhati politik veteran Datuk Peter Minos (gambar) , apa saja alasan pembangkang adalah angan-angan dan bukan satu kejujuran kerana tidak ada jaminan bahawa mereka yang berusia 18 tahun itu semua akan mengundi pembangkang.

“Hakikatnya golongan muda boleh dan akan mengundi pembangkang atau kerajaan yang memerintah. Mereka mempunyai fikiran mereka sendiri. Mereka boleh berfikir dan membuat keputusan,” kata Minos.

Menurut Minos lagi, pembangkang kini begitu berpecah belah, tidak tersusun dan tidak bersedia, lantas mencari apa juga alasan untuk menangguhkan PRN akan datang pada bulan November atau malah membatalkannya selepas darurat berakhir pada 2 Februari 2022 atau melanjutkan darurat.

“Pembangkang lupa bahawa hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah lama berlalu pada Jun lalu dan rakyat mahukan mandat baharu kepada kerajaan Sarawak secepat mungkin melalui pilihan raya dan masa yang paling sesuai dan terbaik untuk itu ialah pada November tahun ini dan bukannya selepas November.

“Hasrat rakyat adalah untuk proses demokrasi diteruskan dalam memilih kerajaan negeri yang baharu,” tambah Minos.

Justeru, Minos turut menyelar pembangkang kerana berkali-kali menyatakan bahawa PRN Sarawak tidak boleh diadakan pada November ini kerana wabak Covid-19 masih mengintai dan kebimbangan ia merebak.

Sehubungan itu, beliau bertanya kepada pembangkang apakah jaminan yang boleh diberikan oleh pembangkang jika Covid-19 tidak akan wujud selepas November.

Beliau berkata hakikatnya tiada siapa yang dapat memastikan sama ada kes Covid-19 akan naik atau turun selepas November. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN