REMBAU: Hasrat empat orang lelaki untuk menyelamatkan seekor kambing betina yang dibelit ular sawa tidak berhasil apabila ia mati dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Mayon, Chengkau, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, seorang penduduk, Mohd. Hafizie Mohd., 28, berkata, dia pada awalnya terdengar bunyi kambing di dalam tali air di kebun berkenaan.
Dia yang baharu sahaja membersihkan kandang kambing terus bergegas ke arah bunyi tersebut dan kemudian melihat ular sawa membelit seekor kambing di kebun berdekatan.
“Saya kemuidan menghubungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lada, Mohamad Shamsuri Musa yang tinggal berdekatan bagi meminta bantuan.
“Dia kemudian datang dengan dua orang lagi penduduk bagi membantu menyelamatkan kambing yang berusia lebih dua tahun lebih itu,” katanya hari ini.
Sementara itu, Mohamad Shamsuri berkata, kejadian binatang ternakan menjadi mangsa ular sawa di kampung berkenaan merupakan kejadian kali ketiga pada tahun ini.
Bagaimanapun menurutnya, ular sawa yang ditangkap kali ini bersaiz lebih besar.
“Kejadian hari ini kambing tidak sempat diselamatkan. Berkemungkinan ular sawa muncul di sini kerana terdapatnya kawasan berpaya menjadikan ia antara habitat yang disukai reptilia berkenaan,” katanya.