Tiada kes varian Omicron dikesan setakat ini - Khairy

Tiada kes varian Omicron dikesan setakat ini – Khairy

KHAIRY Jamaludin (tengah) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Kuarters dan Klinik Kesihatan Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penduduk di negara ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga namun tidak perlu bimbang dengan varian baharu Covid-19, Omicron kerana tiada lagi rakyat dikesan dijangkiti mutasi itu setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah perlu selepas mengambil maklum kewujudan baharu tersebut berdasarkan pengumuman yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

“Kita telah melakukan tindakan awal seperti menyekat pengembara daripada negara Afrika Selatan, yang dipercayai tempat tercetus varian Omicron.

“KKM akan meneliti laporan daripada WHO dan beberapa buah negara berhubung kewujudan varian ini di seluruh dunia untuk kita membuat tindakan sekatan terhadap mana-mana pengembara daripada negara yang mempunyai kes varian Omicron tinggi,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Kuarters dan Klinik Kesihatan Kapar di sini, hari ini.

Selain sekatan, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk melakukan sampel jujukan genom bagi mengesan kewujudan varian terbabit di negara ini.

Jelas Khairy, saintis dari seluruh dunia sedang melakukan kajian bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berhubung varian Omicron.

“Saintis sedang melakukan kajian mengenai kadar keboleh jangkitan varian ini berbanding varian yang telah wujud ketika ini. Setakat maklumat yang diperoleh, Omicron bermutasi lebih banyak daripada varian Delta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy meminta mana-mana rakyat Malaysia yang pernah melawat Afrika Selatan dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini untuk melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Menurutnya, pihak kementerian akan sentiasa memberi perkembangan lanjut berhubung varian Omicron dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya