PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah satu tanggungjawab yang berat kepada calon itu dalam memberikan yang terbaik kepada negeri Melaka.
Beliau berkata, pengabdian dan kesungguhan dalam memberikan yang terbaik kepada Melaka kini bukan sahaja bermula, tetapi harus digandakan.
Katanya, Melaka Lima Tahun perlu dipastikan menjadi fokus yang diusahakan sedaya mungkin dengan membuktikan segala komitmen yang dilaungkan sepanjang berkempen adalah satu ikrar yang benar.
“Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada BN. Melaka memilih kestabilan demi kemakmuran.
“Pada kesempatan ini, saya menyeru semua untuk membanyakkan lafaz syukur kita ke hadrat Ilahi atas kemenangan yang sudah pasti menggembirakan semua.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera dari semua parti komponen, sukarelawan dari seluruh negara dan pasukan penggerak yang bekerjasama memastikan kemenangan BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, BN diumumkan menang dengan majoriti selesa sebanyak 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
Khaled, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi Melaka yang meyakini usaha BN.
“Kepada semua pengundi Melaka, terima kasih kerana meyakini usaha BN untuk memerangi amalan lompat parti dan politik yang tidak jujur serta beretika.
“Terima kasih kerana bertindak rasional dan tidak bersandarkan kepada khabar angin dan serangan tidak berasas. Terima kasih.
“Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua wakil rakyat. Sesungguhnya, ini kemenangan bersama. Alhamdulillah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










