Terengganu perkenal perkhidmatan bot penambang secara VR - Utusan Malaysia

Terengganu perkenal perkhidmatan bot penambang secara VR

ARIFFIN Deraman (kanan) mencuba mengayuh beca selepas menyampaikan bantuan kepada 66 ejen pelancongan Terengganu di TD1303 di Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Perkhidmatan bot penambang yang makin dipinggirkan di daerah ini akan dinaik taraf termasuk menerusi pendekatan realiti maya (VR), bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu sekali gus dapat memastikan pengangkutan air tradisi berkenaan kekal relevan dan menjadi pilihan pengunjung.

Katanya, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman baharu menyusuri Sungai Terengganu dengan kemudahan VR yang lebih menyeronokkan.

“Ini merupakan antara usaha kita menjadikan perkhidmatan bot penambang sebagai tarikan utama pelancongan di Terengganu.

“Kita juga akan memperkenalkan beca berkuasa solar kepada lima pengayuh terpilih pada tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan bernilai RM79,200 kepada 66 pengayuh beca dan pengusaha bot penambang Terengganu di TD1303 di sini hari ini.

Menurut Ariffin, inovasi beca solar dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bakal memberi nilai tambah kepada 49 pengayuh di samping memudahkan pencarian pelapis muda.

Katanya, kerajaan negeri kini giat merancang laluan baharu beca di tempat tumpuan ramai termasuk di jambatan angkat dan Kampung Budaya.

“Di samping itu, kita juga berhasrat menetapkan harga standard bagi setiap laluan beca dalam usaha menambah pendapatan pengayuh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN