Tanpa kempen, tiada keperluan segerakan PRU-15 - Utusan Malaysia

Tanpa kempen, tiada keperluan segerakan PRU-15

WILFRED Madius Tangau (kanan) semasa berucap dalam persidangan luar biasa UPKO di Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau tidak melihat keperluan menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, itu bukanlah pilihan raya.

“Parti-parti bertanding tidak boleh berkempen mahupun menerangkan apa yang calon mereka akan buat sekiranya dipilih oleh rakyat. Walaupun dibenarkan untuk datang rumah ke rumah namun, mereka tidak dibenarkan berkempen.

“Maka, tunggu sehingga keadaan sesuai kerana tidak adil untuk mengadakan pilihan raya jika peratusan keluar mengundi kurang.

“Timbalan Presiden UMNO menyatakan sekarang masa yang sesuai dan peratusan mengundi kurang memberi kelebihan kepada mereka.

“Sekiranya peratusan mengundi lebih 70 peratus, mereka pun tidak boleh menang. Dia buat kenyataan begitu kerana keadaan sekarang sesuai dengan strategi mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Luar Biasa UPKO, semalam.

Ahli Parlimen Tuaran berkata, apa yang lebih penting adalah kemahuan rakyat kerana semasa pandemik Covid-19 ini rakyat takut untuk keluar mengundi.

“Kita tidak mahu kerajaan dipilih oleh pengundi yang kurang daripada 50 peratus, kita mahu kerajaan yang dipilih oleh pengundi yang turun lebih 70 peratus,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan perjanjian sebelum ini, PRU tidak akan diadakan sehingga Julai tahun depan.

Mengulas lanjut katanya, pembahagian kerusi untuk UPKO menjelang PRU-15 masih belum dibincangkan kerana masih terlalu awal.

Madius berkata, UPKO sudah menjadi komponen dalam Pakatan Harapan (PH) maka, sebarang keputusan akan dibincangkan secara bersama dengan PH.

Walaupun UPKO tidak lagi bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) namun, di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka masih bekerjasama dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selaku Ketua Pembangkang DUN Sabah.

“Tidak bereti kita (UPKO) dalam PH dan Warisan bukan komponen PH, kita tidak bekerjasama. Kita masih boleh bekerjasama kerana apa yang penting agenda rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat.

Malah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keperluan segerakan PRU-15.

Katanya, UMNO berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat susulan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada PRN Melaka.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya