MELAKA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri, menandakan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen bakal tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengumuman oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi merupakan satu tamparan hebat buat Mohd. Rafiq selaku Pengerusi PN Melaka dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Untuk mencalonkan Mas Ermieyati, tentu ia sesuatu pilihan baharu yang beri tamparan hebat kepada Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq.
“Bila pengumuman ini dibuat, ini bermakna Mohd. Rafiq akan kalah di Telok Mas yang memberi kelebihan sikit pada Mas Ermieyati,” katanya kepada pemberita di Bandar Hilir di sini hari ini.
Terdahulu, PN memutuskan untuk menamakan Mas Ermieyati yang juga calon PN kerusi DUN Tanjung Bidara sebagai calon ketua menteri sekiranya parti berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat berikutan beliau seorang wanita berkelayakan, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman.
Katanya, pengumuman itu menjadi bukti bahawa PN sentiasa memberi ruang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina untuk memegang jawatan penting.
“Keputusan pimpinan PN bersetuju menamakan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN.
“Saya pun tahu tak pernah ada di negara kita, tetapi terbukti PN sentiasa memberi ruang kepada sesiapa saja tak kira jantina baik lelaki mahupun wanita untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE