ISKANDAR PUTERI: Tiada penyusutan atau pengurangan tanah rizab Melayu di negeri ini seperti yang dibimbangi, malah keluasan tanah tersebut kini menjangkau 557,633 hektar.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, keluasan itu membabitkan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah negeri ini.
Malah, kata beliau, keluasannya sentiasa bertambah dari masa ke semasa disebabkan penyeliaan dan dasar-dasar dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor, selama ini.
“Jika terdapat permohonan bagi pembatalan sesuatu tanah rizab Melayu, ia perlu ada tanah ganti yang mematuhi tiga syarat iaitu keluasan dan nilaian tanah gantian itu hendaklah sama atau lebih daripada tanah yang hendak dibatalkan.
“Tanah gantian itu juga hendaklah sesuai dan memenuhi material dan praktikal sebelum sesuatu permohonan untuk membatalkan status rizab Melayu ini boleh dipertimbang.
“Kerajaan Negeri Johor juga mengenakan syarat iaitu mana-mana tanah yang dikurniakan kepada orang Melayu hendaklah dijadikan sebagai tanah Rizab Melayu,” katanya ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini, hari ini.
Tambah Hasni, bagi memastikan tanah yang dimohon untuk dijadikan sebagai rizab Melayu dan tanah kurniaan yang disyaratkan dijadikan tanah Rizab Melayu, proses pewartaan dijalankan sebanyak tiga kali.
“Bagi memastikan tanah ini tidak berlaku urus niaga kepada orang bukan Melayu, semasa proses pewartaan belum disempurnakan, satu kaveat pendaftar akan dimasukkan sebagai kawalan dan hanya dibatalkan selepas pewartaan disempurnakan sepenuhnya.
“Pentadbiran tanah khususnya di Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Johor sentiasa mengemas kini data dan maklumat tanah-tanah rizab Melayu sama ada dalam bentuk data spatial ataupun data atribut. Laporan secara berkala juga dilakukan selaras dengan Pekeliling PTG Bil. 2/1983,” katanya. – UTUSAN ONLINE