PADANG BESAR: Taman Agrovet di sini yang menempatkan burung unta, kuda padi, burung merak dan rusa menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong di negeri ini.
Rata-rata pelancong dilihat mengambil kesempatan pulang dari membeli-belah dari arked niaga Padang Besar dengan singgah menyaksikan keunikan haiwan berkenaan.
Seorang pengunjung, Mohd. Nizam Yusoff, 44, dari Kulim, Kedah berkata, dia dan keluarganya pertama kali melawat Taman Agrovet yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Padang Besar.
Katanya, lokasi tersebut sangat sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga khususnya kanak-kanak yang cukup teruja melihat burung unta, rusa dan kuda secara lebih dekat.
“Tempat ini sangat sesuai membawa keluarga berehat. Kanak-kanak seronok melihat dan memberi makan kepada haiwan-haiwan.
“Kemudahan asas seperti surau dan tandas juga disediakan, sesuai untuk berehat sebentar dan memberi peluang anak-anak bermain selepas membeli-belah di Padang Besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Taman Agrovet diuruskan Jabatan Veterinar negeri yang menempatkan beberapa spesies haiwan ruminan seperti rusa, kerbau, kuda dan kuda padi.
Selain itu, terdapat juga burung unta, burung merak, ayam kampung, itik serta landak.
Kemasukan ke lokasi pelancongan tersebut adalah percuma, dan pengunjung hanya perlu membayar harga makanan seperti lobak merah, kangkung dan rumput napier untuk diberi makan kepada haiwan di situ dengan harga hanya RM2 satu ikat.
Sementara itu, seorang pegawai veterinar negeri memaklumkan, pihaknya kini dalam usaha membawa masuk haiwan lain seperti lembu tenusu dan menambah perkhidmatan kereta kuda untuk mengelilingi taman tersebut.
“Taman Agrovet juga dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pendidikan awal veterinar bagi mendidik dan berkongsi pengetahuan dengan orang ramai mengenai bidang tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE