‘Syukur tidak perlu kuarantin’ - Utusan Malaysia

‘Syukur tidak perlu kuarantin’

Polis Johor bersedia mengawasi lokasi tumpuan pelancong sempena pembukaan sempadan Johor-Singapura pada 1 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rata-rata pekerja Malaysia yang terus bekerja dan tinggal di Singapura sejak sempadan kedua-dua negara ditutup tetap gembira dan bersyukur dengan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) bermula hujung bulan ini.

Mereka menyifatkan, kelonggaran tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik sahaja tiba di tanah air itu amat wajar memandangkan mereka telah lama lengkap dos vaksin ketika berada di negara republik itu.

Seorang pekerja dalam bidang kejuruteraan di Tuas, Raja Mohammad Haziq Jaafar, 27, berkata, dia sebaliknya akan menunggu pelaksanaan VTL darat yang akan diumumkan kelak untuk pulang bercuti ke pangkuan keluarganya di Johor Bahru.

“Saya memilih untuk pulang menggunakan VTL darat kerana selain kosnya yang lebih jimat, masa juga pendek berbanding VTL udara yang memerlukan saya perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu sebelum ke Johor.

“Sudah lebih setahun saya tidak pulang menjenguk keluarga sejak berkhidmat di Singapura, tambahan pula saya baru mendirikan rumah tangga tahun lalu dan peluang ini akan saya ambil untuk melepaskan rindu terhadap isteri, ibu bapa dan adik beradik kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bermula 29 November ini, pengembara yang telah lengkap vaksin dibenarkan pulang ke Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin wajib melalui skim VTL yang dipersetujui Malaysia dan Singapura.

VTL yang dimulakan dengan perjalanan udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan KLIA itu dijangka disusuli dengan VTL darat yang akan diumumkan beberapa minggu lagi seperti yang dimaklumkan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai Covid-19.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Shamsuri, 32, berkata, meskipun mereka berpeluang untuk pulang tanpa perlu menjalani kuarantin, tetapi dia dan rakan-rakannya tetap berharap perjalanan ulang-alik harian tanpa sebarang syarat akan dimulakan tidak lama lagi.

“Walaupun perlu mengharungi kesesakan yang amat tinggi setiap pagi untuk masuk ke Singapura kami tiada masalah dan bersedia berhadapan dengan situasi itu sekali lagi asalkan dapat dekat dengan keluarga.

“Mengenai VTL ini, ia juga disambut baik kerana ketiadaan kuarantin akan memberi kami peluang untuk berada lebih lama bersama keluarga kerana sebelum ini untuk pulang di bawah PCA, kami perlu mengambil cuti yang panjang hanya kerana faktor kuarantin.

“Perkara itu sudah tentu menambah kos dan merugikan masa berbanding VTL yang membolehkan kami pulang terus ke rumah sebaik tiba ke tanah air,” kata pekerja dalam bidang perhotelan yang berasal dari Batu Pahat.

Perjelas VTL bukan ulang-alik harian

Sementara itu, Kerajaan Malaysia dan Singapura perlu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) kepada pengembara yang lengkap vaksin untuk pulang ke negara ini bermula 29 November ini.

Ini kerana, ramai beranggapan skim laluan khas yang dibuka terlebih dahulu melalui laluan udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu membolehkan pengembara bebas bergerak setiap masa.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, S. Dayalan berkata, skim tersebut sebenarnya tidak banyak beza dengan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) sebelum ini kecuali tidak perlu menjalani proses kuarantin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ujar Dayalan, VTL bukanlah proses ulang-alik harian seperti sebelum pandemik Covid-19 yang menyaksikan ratusan ribu pekerja negara ini pergi dan pulang ke negara republik itu sama ada melalui Tambak Johor atau Linkedua.

“Kelebihan VTL adalah pengembara tidak perlu menjalani kuarantin seperti dalam PCA, tetapi banyak perkara masih menjadi tanda tanya terutama prosedur kemasukan semula mereka yang pulang bercuti untuk ke Singapura.

“Langkah tanpa kuarantin itu memang satu perkara yang amat baik tetapi bagaimana pula apabila mereka tamat bercuti di Malaysia dan perlu pulang semula ke Singapura, adakah perlu membuat permohonan melalui PCA dan sebagainya, jadi itu kita perlu tahu,” katanya di sini semalam.

Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai Covid-19 memaklumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura dijangka dilancarkan beberapa minggu lagi.

Pengerusinya, Gan Kim Yong berkata, perbincangan mereka dengan Malaysia mengenai cadangan VTL darat berjalan lancar kerana kedua-dua negara menjalin hubungan erat dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kalangan rakyat.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN