TAMPIN: Berat dugaan yang ditanggung oleh Muhammad Osmam Yahya, 35, dari Rumah Rakyat Repah di sini apabila dia kini perlu menjaga isterinya yang terlantar sakit dan anak tunggalnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang perlu menjalani pembedahan.
Hanya bergantung kepada hasil pendapatan berniaga cakuetiau di pasar malam yang dilakukannya, dia tetap tabah dan berusaha menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga.
Menurut Muhammad Osmam, isterinya, Nor Afanisha Mohamad, 39, mula tidak boleh berjalan kira-kira dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapi selain buah pinggang yang gagal berfungsi dengan baik.
“Saya kini sudah lebih setahun lebih tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga isteri yang sakit selain disebabkan pendemik Covid-19. Sebelum ini isteri saya seorang yang aktif dan ceria, namun, disebabkan sakitnya itu, dia diserang strok dan kini terlantar sahaja.
“Ini dugaan serta ujian dari Allah, saya akan cuba berikhtiar menjaga isteri sebaik mungkin dengan bantuan ahli keluarga isteri yang tinggal berdekatan. Mereka selalu datang membantu saya untuk menyalin lampin kerana isteri saya bersaiz agak besar serta memerlukan kudrat lebih dari dua orang untuk menguruskannya,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Osmam berkata, disebabkan strok, isterinya kini hanya bergantung kepada susu khas sahaja yang diberikan setiap tiga jam sekali melalui tiub yang dipasang sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, buat masa ini, dia ada menerima bantuan daripada pemimpin setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan-rakan serta ahli keluarga.
“Saya juga menggunakan duit simpanan daripada perniagaan kecil-kecilan di pasar malam sebelum ini bagi memenuhi keperluan keluarga selain mengambil upah membina rumah jika diperlukan. Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu saya memfokuskan perhatian kepada isteri,” katanya lagi.
Muhammad Osmam dalam pada itu memberitahu, disebabkan isterinya sakit serta pandemik Covid-19, dia juga gagal untuk menguruskan pembedahan anak tunggalnya, Muhammad Shaziman Muhammad Osmam, 8, yang merupakan OKU fizikal.
“Usus anak saya berada di luar badan dan dia memakai bengkung. Sepatutnya anak saya sudah melalui pembedahan sebanyak dua kali iaitu pembedahan menyediakan ruang usus serta seterusnya menarik usus masuk ke dalam perut dan punggung di Hospital Kuala Lumpur.
“Kos ini biasanya ditanggung oleh kerajaan, namun saya masih belum berpeluang untuk menguruskannya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Bank Islam bernombor 05021020258605 di atas nama Nor Afanisha Mohamad. -UTUSAN ONLINE