Suami angin ahmar, isteri jual kuih tampung hidup - Utusan Malaysia

Suami angin ahmar, isteri jual kuih tampung hidup

FAZZIAH Abdullah (berdiri kiri) mendukung anak keempatnya bersama Akbar Nizam Hamzah (berbaring) dan seorang anak lelaki berusia 15 tahun di rumah ibu bapa mereka di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kehidupan seorang peniaga makanan di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, Fazziah Abdullah, 42, dihimpit kesukaran selepas suaminya, Akbar Nizam Hamzah, 45, diserang angin ahmar setahun lalu sehingga memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga dan persekolahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fazziah berkata, dia terpaksa mengambil alih tugas suaminya dengan berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan bagi menampung pendapatan selepas suaminya diserang angin ahmar yang mengakibatkan tidak boleh menggerakkan bahagian kiri anggota badan.

“Suami saya juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma kini hanya mampu berbaring di atas kerusi dan setiap bulan menjalani terapi di Hospital Bandar Pusat Jengka, tetapi keadaannya tidak berubah.

“Sebelum ditimpa penyakit angin ahmar, dia bekerja selama 15 tahun di Klang, Selangor di sebuah syarikat swasta dan kembali ke kampung di sini untuk membuat kerja sendiri sejak enam tahun lalu,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini semalam.

Ibu kepada empat orang anak lelaki berusia antara dua hingga 17 tahun itu berkata, mereka berdepan dengan ujian Allah SWT apabila anak keempat, Mohd. Azriq Izzuddin, berusia dua tahun 10 bulan mengalami sindrom down, menderita penyakit tiroid dan kecacatan bahagian kemaluan.

“Anak saya ini juga sedang menjalani terapi di Temerloh dan pada Disember tahun ini akan dibedah pada bahagian kemaluan serta rawatan bahagian telinga,” katanya.

Katanya, dia cuma menjual kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil pesanan pelanggan menerusi hantar dan bayar dengan memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari.

“Pendapatan itu hanya untuk keperluan dapur, susu, lampin pakai buang, pembayaran bil dan modal berniaga setiap hari. Tetapi, jika hujan saya tidak berniaga dan bermakna tidak ada pendapatan langsung termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, nasib kami lebih teruk,” katanya.

“Pendapatan jualan kuih-muih tidak cukup menampung belanja bulanan keperluan dapur dan kebajikan keluarga yang mencecah hingga RM2,000 termasuk kos menyewa kereta dua kali sebulan membuat rawatan suami dan anak ke Temerloh dan Bandar Pusat Jengka sebanyak RM300 pergi dan balik,” katanya.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Fazziah menerusi talian 01112834047 atau Akbar Nizam Hamzah (0142112393) atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06004-41-00009846-3 (Akbar Nizam). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN