SPR terima 68,228 permohonan daftar pemilih baharu - Utusan Malaysia

SPR terima 68,228 permohonan daftar pemilih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 68,228 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan turut melibatkan sejumlah  15,143 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar bagi tempoh sama selama tiga bulan itu.

Sehubungan itu kata beliau, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST3/2021 bagi semakan permohonan itu selama 14 hari mulai esok hingga 15 November ini di 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara.

Beliau menjelaskan, semakan RDPT ST3/2021 boleh dibuat melalui empat kaedah semakan seperti hadir ke 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan; atau melayari portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri.

“(Kaedah lain ialah) hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST3/2021 yang disediakan atau melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2021 dan jika pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

Katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST3/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat pilihan raya negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran RDPT ST3/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN