Sindiket seludup minuman keras bernilai RM22.256 juta dipatahkan - Utusan Malaysia

Sindiket seludup minuman keras bernilai RM22.256 juta dipatahkan

ABDUL Wahabi Abdullah (tengah) menunjukkan antara minuman keras tanpa kelulusan kastam yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah mematahkan cubaan sindiket penyeludupan minuman keras tanpa kelulusan kastam sebanyak 627,510 liter berjumlah RM22.256 juta dalam tiga operasi berasingan antara 21 September sehingga 8 November lalu.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dipercayai bertindak sebagai dalang sindiket terbabit.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, kesemua minuman keras terbabit diimport dari Asia Barat dan Belgium dan dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.

“Rampasan pertama membabitkan tiga buah kontena minuman keras yang ditahan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada pukul 2.30 petang, 8 November lalu.

“Pihak ejen didapati mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah di sini hari ini.

Bagi kes kedua, Abdul Wahabi memberitahu, anggotanya menyerbu sebuah gudang milik syarikat tempatan di PKFZ pada pukul 1.15 petang, 21 September lalu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas gudang berkenaan telah menemukan pelbagai jenis minuman keras belum lulus kastam.

“Bagi kes ketiga, anggota kita telah melakukan serbuan ke atas sebuah lagi gudang berbeza di PKFZ pada pukul 12.30 tengah hari, 27 September lalu.

“Hasil semakan, pihak syarikat telah mengikrar enam buah kontena bermuatan minuman keras tetapi minuman keras yang diikrarkan tiada di premis berkenaan dan turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai dalang sindiket berkenaan,” jelasnya.

Kes pertama dan kedua disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 manakala kes ketiga dibawah Akta Zon Bebas 1990.

Sehubungan itu, JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dengan jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN