RAUB: Kehidupan seharian manusia begitu bergantung kepada tenaga elektrik, tanpa bekalan tersebut aktiviti seharian tidak dapat berjalan lancar.
Menyedari hakikat itu, Impact Malaysia organisasi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan inisiatif Sinar Solar yang memberikan sinar dan kegembiraan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Telaga di sini.
Setelah sekian lama menantikan cahaya lampu, pemasangan tenaga solar itu memberikan makna yang besar kepada penduduk di kampung terletak kira-kira 15 kilometer dari Bukit Fraser itu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pemasangan tenaga solar yang diterajui Impact Malaysia itu melibatkan 16 buah rumah Orang Asli di kampung berkenaan.
“Bagi komuniti yang tidak mendapat akses kepada bekalan elektrik, mereka tidak akan berpeluang menikmati kemajuan teknologi yang canggih dari semasa ke semasa.
“Saya harap dengan Impact Malaysia kita dapat beri impak baru kepada kehidupan seharian Orang Asli dan memajukan mereka serta membawa mereka mendekati teknologi canggih melalui pendigitalan yang memerlukan kemudahan elektrik,” katanya pada program pemasangan Sistem Solar Rumah di Kampung Orang Asli Bukit Telaga di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohamad Shahid Ismail.
Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, pemasangan sistem solar itu dilakukan oleh 21 sukarelawan yang terdiri daripada belia Kampung Pamah Kulat dan Belia Orang Asli RPS Bilut di sini yang telah diberikan latihan dan tunjuk ajar.
Katanya, sebelum menyempurnakan inisiatif berkenaan, Impact Malaysia menjalankan lima sesi perbincangan fokus berkumpulan bersama-sama komuniti Orang Asli dan belia sekitar Raub bagi mengenalpasti masalah pembangunan yang dihadapi komuniti berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Impact Malaysia dan belia setempat yang telah mengambil inisiatif yang julung kali kita adakan di Pahang dan akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Batin Kampung Orang Asli Bukit Telaga, Ah Sai Anjak berkata, pemasangan sistem solar itu cukup bermakna kepada kira-kira 26 keluarga Orang Asli di kampung berkenaan.
Katanya, ia bukan sahaja memberikan keselesaan tetapi juga dapat meringankan beban masyarakat Orang Asli yang terpaksa membeli bahan api bagi menghidupkan generator elektrik.
“Walaupun ada generator namun ia digunakan untuk mengecas telefon dan penggunaan lampu juga adalah terhad, jadi dengan pemasangan solar ini diharap lampu dapat menerangi setiap rumah,” ujarnya. – UTUSAN